Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Kempen Doa dan Tawakal: Elemen yang Diabaikan

Setiap kali sambutan Aidilfitri hampir tiba maka berlakulah beberapa perkara bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Limpahan juadah Ramadhan dan persiapan perayaan, Kemalangan jalan raya setiap hari yang meningkat, saman OPS SIKAP bertambah, Road block di sana sini, Kebakaran rumah dan kecederaan akibat bermain mercun sering kedengaran dan bil air, elektrik, telefon juga mampu membuatkan tuan rumah tergaru kepala insaf.

Di sini, bukanlah saya mahu fokuskan tentang suasana yang mampu memeriahkan aidilfitri tetapi lebih menyentuh mengenai hal yang menjadikan suasana suram di musim aidilfitri iaitu masalah kemalangan jalan raya yang masih belum usai. Saban tahun, jumlah jualan kereta meningkat lalu jalan raya turut menjadi sesak terutamanya apabila musim perayaan berlangsung. Tidak salah ramai berkereta namun masing-masing perlu bertoleransi apabila berada di jalan raya.

Menyedihkan apabila mendengar kisah ahli keluarga yang terkorban dan cacat anggota akibat kemalangan jalan raya bahkan terdapat juga individu yang hampir kehilangan seluruh adik beradik dan ibu bapa. Oleh itu, kita perlu buat sesuatu bagi mengurangkan statistik kemalangan jalan raya musim perayaan.

ELEMEN KEROHANIAN DALAM BERKEMPEN

Seringkali muncul di corong radio, kaca tv, dada akhbar, skrin telefon bimbit, papan iklan yang memperingatkan tentang keselamatan ketika berada di jalan raya. Semua itu adalah kempen. Berhenti memandu jika mengantuk, memakai tali pinggang keledar, memakai baju pemantul cahaya, berjaga-jaga semasa di lampu isyarat dan banyak lagi kempen-kempen di buat bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

Kempen-kempen tersebut adalah wajar.

Namun, berdasarkan pemerhatian kasar saya, amat jarang sekali kempen anjuran pihak kerajaan dan jabatan-jabatan berkaitan yang mengambil kira elemen kerohanian sebagai salah satu cara terbaik mengatasi kemalangan jalan raya. Mereka lebih mempromosikan tentang bagaimana mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

Menempatkan polis di merata-rata jalan beserta operasi-operasi yang menambah kesesakan jalan raya tidak banyak membantu kerana sikap adalah suatu yang sukar diubah lantas melahirkan pengguna jalan raya yang hipokrit dan menipu diri sendiri. Mungkin dari sudut pendapatan negara, cara tersebut diguna pakai namun kesannya terhadap masyarakat amat membebankan sekiranya disaman walaupun sesetengah kesalahan itu tidak disedari tambahan pula musim perayaan yang belanjanya besar.

Berkempen merupakan suatu tindakan yang positif namun apabila elemen kerohanian diabaikan mampu mengundang perasaan manusia yang ujub, riyak dan takabbur dengan kebolehan memandu dan menunggang di jalan raya. Seharusnya kita insaf bahawa bukannya 100% kita yang mengawal kenderaan tersebut sebaliknya Allah yang maha berkuasa juga telah menetapkan takdir sama ada kita selamat atau tidak dalam perjalanan tersebut. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukannya. Kita juga hanya mampu berdoa.



Walaupun berdoa masih belum cukup lagi syarat untuk kita selamat. Kita perlu bertawakal setelah berdoa. Berserah kepadaNya sambil memohon agar selamat tiba ke destinasi. Mudah-mudahan InsyaAllah juga dengan keberkatan doa yang diamalkan, Allah S.W.T. mempermudah urusan perjalanan kita.


{ } Doa yang lebih ringkas

KEMPEN DI PERINGKAT NASIONAL: DOA DAN TAWAKAL

Oleh itu, besar harapan saya supaya kempen peringkat Nasional turut menerapkan hal-hal berkaitan kerohanian untuk memberi kesedaran menjaga keselamatan di jalan raya. Berdoa dan bertawakal ketika berada di jalan raya adalah hal yang dimestikan kerana ia juga berkait dengan akidah kita. Bukan kita yang menentukan kenderaan tersebut selamat sampai, namun Allah yang menjadi penentu keselamatan hamba-hambaNya. Buat mereka bukan Islam, kempen seumpama ini tidak menjadi masalah untuk mereka bahkan siapa tahu mungkin mereka menyambut baik kerana mereka juga beragama mengikut kepercayaan masing-masing. Sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa tuhan menjaga manusia itu sendiri.

Paling penting adalah keberkatan dari doa yang dipanjatkan oleh kita. Seandainya berlaku insiden yang tidak diingini walaupun setelah berdoa dan bertawakal, redhalah dan muhasabah atas malang yang terjadi. Pasti ada hikmahnya. Kita hanya mampu merancang namun Allah yang menentukan.

Mudah-mudahan juga kadar kematian dan kemalangan jalanraya di negara Malaysia terutamanya umat Islam dapat dikurangkan dengan berkempen secara menerapkan hal berkaitan kerohanian ke dalam diri setiap pengguna jalan raya. Tidak rugi jika kita berdoa dan beruntunglah mereka yang berdoa sebelum memulakan perjalanan.

Saya amat yakin dan percaya dengan kekuasaan Allah. Hanya Allah yang menyelamatkan hamba-hambaNya.

Wallahua'lam

Hafizul Hazman bin Ngaa
Pengerusi
Biro Pembangunan Insan (siswa)
MTM KSR

0 comments:

Post a Comment

<