Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Cinta Bertumpang-tumpangan



"Jual mahal lah awak ni.." mengeluh Amir.

"Saya bukan tak nak, tapi takut.." balas Siti yang masih teragak-agak.

"Apa yang awak takutkan? Kan saya ada..sekejap je. Lepas beli barang, terus balik." Si Amir pujuk lagi.

"Ni kan kali pertama awak ajak saya keluar, eee..saya tak biasa lah. Kalau mak dan ayah tahu, habis saya.." Siti cuba mengelak.

"Hmm.. Ok. Saya janji belanja awak makan KFC. Tentu awak lapar kan. Macam mana, sayang.. Kalau awak sayangkan saya, temanlah saya keluar sekejap je. Lepas tu kita makan. Abang janji." Amir balas dengan tawaran yang lebih baik.

"Awak ni, pandai pujuk saya ya, mentang-mentanglah tahu makanan favourite saya.. Abang janji sekejap saja ya, kali ni je saya ikut." Kata Siti yang termakan pujuk rayu Amir.

"Ok. Saya janji.. tak lama, sekejap je.." Balas Amir lagi.

Hati sentiasa berbisik-bisik mahukan teman hidup. Tempat meluahkan perasaan, berbicara, menceritakan masalah dan mahukan pendengar yang baik. Hati ketika alam remaja juga berhasratkan seorang teman hidup suatu hari nanti. Oleh itu, teman yang dicari adalah individu yang sentiasa faham akan masalah diri, mengambil berat, serta saling menghormati. Dengan erti kata lain, segala-galanya saling berkongsi dengan penuh pengertian. Segala-galanya bermula dari sekarang.

Fitrah makhluk yang bergelar manusia memang begitu bahkan mereka yang meletakkan cinta kepada Allah dan Rasulnya melebihi segala-galanya juga punya perasaan yang sama. Menjadi sunnatullah untuk manusia bermulanya ketika Allah menciptakan Adam dan Hawa, lelaki cenderung kepada wanita manakala wanita lebih cenderung kepada lelaki. Kehidupan lelaki bagaikan tidak lengkap tanpa kehadiran wanita dalam hidupnya dan sebaliknya. Bagaikan sang kumbang memerlukan bunga dan perigi memerlukan timba.

BERCINTA MUDA: 10 TAHUN LAGI BAGAIMANA?

Ramai muda mudi hari ini bercinta atau bahasa lebih kasarnya 'bercouple'. Namun, apakah benar bercouple zaman darah panas ini membawa kepada kebahagiaan hidup yang sempurna untuk masa akan datang? Hari ini saling meluahkan, saya sayang awak, saya cintakan awak.

Mampukah ungkapan sebegini menjanjikan perasaan yang sama 10 tahun lagi dalam keadaan sekarang yang sudah jemu bercinta ketika zaman muda yang kononnya telah khatam mengenal hati budi masing-masing? Anda akan mengungkitnya 10 tahun lagi.. tak hairanlah awak curang kepada saya. Dari dulu pun saya dah curiga, tetapi saya bersangka baik. ATAU awak benar-benar dah berubah! Si isteri yang dahulunya ketika zaman remaja merasakan teman lelakinya itu sebagai orang yang memahami diri, sentiasa mengambil berat, setia dan baik hati rupa-rupanya seorang yang curang setelah berkahwin. Si suami pula merasakan terabai, bahkan menunding jari bahawa isterinya sudah berubah. Memang slack!

Ungkit mengungkit ketika keindahan zaman cinta mudanya terus berlaku saling bertempias dan berangkai-rangkai.

BETULKAN SALURAN

Rasa cinta tidak salah tetapi pembawa cinta itu yang sering salah.

Bayangkan sebuah kereta mercedes yang mahal harganya, tentunya kereta itu cukup selesa, stereng yang baik, kurang rasa hentakan di jalan berlubang-lubang dan kurang gayatnya apabila dipandu laju. Apabila suatu hari kereta tersebut terbabas mengalami kemalangan, wajarkah kita menyalahkan kereta tersebut? Pemandu tersebut tetap dipersalahkan. Pastinya majoriti orang ramai di tempat kejadian akan berkata rugi betul mercedes tu hancur, kalau bagi satu kat aku pun tak apa. Mereka pun lupa akan pemandu yang membawa mercedes yang cedera parah tu!

Begitulah cinta yang pada asalnya bersesuaian dengan fitrah manusia apabila cinta itu 'dipandu' dengan betul. Sekiranya cinta yang ditunggangi penuh dengan fitnah serta kemaksiatan bakal membawa kepada kemusnahan, kecelakaan pada diri jika kita tidak berhati-hati menyelianya. Niat percintaan itu mesti dibetulkan. Laluan yang dilalui andai rosak, tempelkan dahulu dengan membaiki kelemahan yang ada. Gunakan hanya perlu kerana jika asyik menggunakannya selalu, maintenance juga tinggi. Pernyataan di sini bukanlah mahu menggalakkan bercinta tetapi diharapkan menjadi muhasabah diri buat mereka yang sedang asyik dibuai cinta buta.

CINTA BERTUMPANG-TUMPANGAN

Menjadi fenomena dalam masyarakat apabila menganggap perbuatan mengusung girlfriend di atas satu motor ke sana ke mari adalah suatu hal yang biasa. Ini suatu yang menyakitkan umat.

Ketahuilah tidak halal seorang wanita untuk lelaki menyentuhnya melainkan dengan jalan pernikahan. Sebaliknya juga, wanita diharamkan menyentuh lelaki bukan muhrim. Benar, hanya jalan pernikahan membolehkannya melainkan tujuan-tujuan yang dibenarkan syariat. Letakkanlah keutamaan agama dalam diri melebihi kepentingan diri sendiri. Allah yang mencipta manusia pasti mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia. Justeru, Allah menetapkan peraturan untuk manusia supaya manusia memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Peraturan-peraturan hukum di dalam agama bukanlah rekaan semata-mata namun Allah maha penyayang menyampaikan manual kehidupan sejahtera buat makhluknya yang sering lalai.

Rasa cinta tidak salah tetapi pembawa cinta itu yang sering salah.

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (hadis riwayat Bukhari)

Mohon ampun kaum wanita, Rasulullah telah mengingatkan kaum lelaki lebih seribu tahun dahulu melalui hadisnya ini. Justeru, berusahalah mengelakkan diri dari terjebak kepada cinta terlarang. Sekiranya hari ini kita bergembira dengan tanpa batasan syariat, berjalan-jalan bersama kekasih tanpa ikatan pernikahan, bersedialah untuk menangis esok hari untuk kita dihukum kerana melakukan hal tersebut yang dibenci tuhan.

Cinta sebenar kepada kekasihnya adalah cinta yang membawa kepada kesejahteraan di dunia dan menuju ke syurga. Jika kita terjebak dengan cinta yang bakal menghumbankan diri ke neraka, mohon hidayah Allah agar kembali ke pangkal jalan.

Bercinta sesama manusia untuk mencari keredhaanNya, Cinta Allah dan rasul paling utama.

Disediakan oleh: Biro Pembangunan Insan MTM KSR

PERHATIAN.. Diskusi MPP dan MTM ditangguhkan



PERHATIAN

Diskusi bersama MPP dan MTM terpaksa ditangguhkan oleh sebab program melibatkan mahasiswa masih dibekukan buat sementara waktu sehingga disahkan bebas H1N1 atau sindrom berkaitan dengannya. Sedia maklum bahawa masih terdapat mahasiswa yang dikuarantin. Pihak pentadbiran dan pengurusan kolej mengesyorkan ditangguhkan dahulu majlis diskusi tersebut.

Pihak penganjur memohon maaf kepada mahasiswa sekalian atas kekangan yang terpaksa dihadapi ini dan diharap bertenang serta tidak menimbulkan spekulasi yang tidak baik.

Sila sampaikan kepada rakan-rakan yang lain.

Selamat Berpuasa dan Menjalankan Ibadah Sepanjang Ramadhan

Mohd Afiq bin Mohd Amin
Timbalan Naib Yang Dipertua

Hal Ehwal Kampus Bintulu

Majlis Perwakilan Pelajar UPM

FITRAH yang Menjadi FITNAH



Remaja dan cinta merupakan dua perkara yang bagaikan sudah sebati. Rasa cinta bertandang di dalam jiwanya tanpa diundang. Keinginan itu tidak payah dipelajari dan dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulah sebaliknya.Walaupun ia kadangkala ia cuba dilawan, namun rasa 'ajaib' itu datang jua. Apalagi kalau cinta itu disuburkan, maka makin marak dan menggilalah jadinya. Bila cinta mencengkam diri, makan tak kenyang, tidur tak lena dibuatnya. Sedemikian indah dan damainya syurga, namun Nabi Adam a.s berasa kesunyian dan inginkan teman. Lalu Allah ciptakan Siti Hawa dari tulang rusuknya. Dan kita anak cucu pewaris rasa cinta itu akan sentiasa rasa terpisah dan gelisah selagi tidak bersama yang dicintai.


Rasa Cinta Tidak Salah

Lalu hati remaja selalu berkata, apakah salahnya kami bercinta?
Ya,
rasa cinta memang tak salah. Ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya.

Namun Allah tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja. Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah remaja selalu terjebak.

Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan Allah. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan.

Mengapa perlu ada peraturan cinta?



Jawabnya, kerana Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan tanpa tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan.

Begitulah hubungan cinta yang terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita jangan sekali - kali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan Allah.

Cinta yang terlarang adalah cinta yang sudah dicemari oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.

Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasai pelbagai dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika ltulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada sesiapa yang dicintainya.

Ketika
itu hati tidak nampak yang lain kecuali yang dicintai. Lupalah diri pada Pencipta cinta keran terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakan-Nya. Bagaimanakah perasaan agaknya, jika seseorang begitu leka dengan hadiah hingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?

Pohon Cinta Terlarang

Allah kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta terlarang. Hukum-Nya dilanggar bukan dengan rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Tergamak berdua - duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itu pun banyak yang berlaku.

Semuanya seolah - olah halal hanya kerana cinta. Racun - racun berbisa yang memusnahkan cinta telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta terlarang pun berbuah. Buah yang pahit, masam dan memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama yang aneh dan menjijikan - bohsia, bohjan , buang bayi, dan zina. Ketika itu indahkah cinta?

Peraturan cinta bagai tanda - tanda dan lampu isyarat di atas jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak tetapi pegerakkannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan. Apakah peraturan - peraturan dalam hubungan cinta? Hendaklah cinta kita berdasarkan cinta Allah.

Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya semata- mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah memberikan kita fitrah itu, lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh mendekatkan diri kita kepadaNya. Cintailah sesiapa pun tetapi, pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencari keredhaan Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan perempuan mestilah diniatkan untuk Allah.

Tetapi bagaimana?

Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seorang lelaki dan perempuan menyempurnakan agamanya. Oleh itu, usah lah bercinta sekadar untuk bersuka - suka . Lebih buruk lagi janganlah ada niat - niat yang jahat dalam bercinta samada didorong oleh hasutan nafsu atau pujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin cinta sudah pasti bukan kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan. Cinta jenis ini, seburuk namanya - cinta monyet!

Putus Cinta

Hendaklah dipastikan semasa menjalinkan hubungan cinta tidak ada hukum Allah yang dilarang antaranya , tidak ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat , tidak ada pengabaian perkara asas, seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain - lain. Hubungan cinta jangan sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan . Maka, remaja seharusnya tidak mengeluh, "cinta apa namanya ini, jika tidak ada dating, perbualan telefon maraton, surat cinta, sentuhan tangan, kerlingan dan senyuman?"

Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar peraturan Allah. Putus cinta dan kecewa , bercinta yang begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah disebabkan racun - racun cinta yang disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak putus tanpa sempat menempuh perkahwinan. Allah maha Mengetahui dan Maha Menyayangi . Segala peraturan-Nya dibuat dengan rasa cinta terhadap hamba-hambaNa. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan Cinta itu pasti membawa ke gerbang perkahwinan.

Dipetik dari mesra.net

Pengumuman Penting Ramadhan

Salam Ramadhan. Pengumuman Penting Sepanjang Bulan Ramadhan:

1) Pusat Islam menganjurkan solat sunat Tarawih secara berjamaah sepanjang bulan Ramadhan. Buat masa ini, bilangan rakaat untuk satu malam sebanyak 8 rakaat disertai dengan witir 3 rakaat. Namun, mereka yang mendapat arahan kuarantin amat tidak digalakkan menyertai solat sunat tersebut demi kepentingan umum, penyakit tersebut tidak berjangkit kepada ahli jamaah solat yang lain. Anda dijemput menyertainya.

2) Pusat Islam akan menyediakan jamuan berbuka puasa pada setiap hari di Pusat Islam. Walaupun begitu, hidangan yang disediakan mungkin tidak mampu menampung seluruh warga muslim tetapi mereka yang berkesempatan dijemput hadir berbuka bersama-sama. Anda dijemput menyertainya.

3) Tazkirah Ramadhan oleh para penceramah jemputan dari luar dan dalam kampus akan dilaksanakan selepas Solat Fardhu Isyak (sebelum solat tarawih) sepanjang Ramadhan di Pusat Islam. Anda dijemput menyertainya.

4) Selepas selesai solat sunat tarawih dan witir, tadarrus Al-Quran secara berkumpulan akan berlangsung. Penyertaan tadarrus terbuka untuk lelaki dan perempuan sepanjang Ramadhan dan tidak terikat dengan mana-mana kumpulan yang sedia ada. Anda dijemput menyertainya.

5) Moreh selepas solat sunat tarawih dan witir akan disediakan. Tertakluk kepada peruntukan yang diperoleh, makanan yang disediakan kemungkinan terhad. Oleh itu, toleransi ketika moreh amat penting supaya semua tetamu mendapat bahagian masing-masing. Anda dijemput menyertainya.

6) Kantin kolej (KK 1) akan dibuka mengikut jadual seperti berikut:

Dari jam 4.30 petang hingga jam 4.30 pagi (setiap hari)

Dari jam 12.00 tengah hari hingga jam 2.00 petang (setiap hari)

Selamat Berpuasa. Bertarawih. Bertadarus. Berbuka. Bersahur. Berzikir. Bersedekah. Berzakat dan Beribadah khusus dan umum. Kami BPI MTM akan terus menyampaikan info dari masa ke masa. Terima kasih.

Salam Ramadhan

Biro Pembangunan Insan Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang mengucapkan selamat beribadah sepanjang bulan Ramadhan kepada semua mahasiswa Kolej Sri Rajang yang dikasihi dan warga UPM Kampus Bintulu secara amnya. Jadikan Ramadhan sebagai institusi untuk melonjakkan diri ke arah menjadi insan yang lebih baik serta taat pada pegangan agama. Selamat Berpuasa.

'Mask' oh 'Mask' di musim H1N1

Sempat sebentar tadi kira-kira pukul 4.30 petang tadi saya meninjau sebahagian kecil sekitar kampus ini. Secara tidak sengaja pada asalnya, saya perhatikan penutup hidung dan mulut (mask) seperti 'tahi lembu' yang bertempek merata-rata di tepi jalan. Terkenangkan pula sikap 'segelintir' penuntut kampus hijau ini yang berpendidikan dan diacu dengan budaya berdisiplin mudahnya membuang sampah. Lihatlah.. Inilah buktinya.




Dari manakah datangnya?


Objek putih di bawah itu bukan 'kupu-kupu putih' mati..


Pasti anda tahu ini di mana..



Mengapa tidak dicampak ke longkang sebelah itu terus? Kan tiada orang lain nampak..





Perbuatan siapa ini?


Benarkah pekerja binaan yang membuangnya?

PERSOALANNYA

"Eh, tak semestinya student yang buat macam tu, tengoklah macam-macam jenis mask dibuang. Pekerja binaan rasanya yang banyak buang merata-rata.."

Bagaimana pula dengan ini?



Ini..



Ini pula..


Ini.. dan..



Ini?

Cuba perhatikan laluan ini. Bukankah ini Jalan Mulu; laluan harian mahasiswa ke kuliah-kuliah?
Atau
Sampah ini dibuat oleh monyet-monyet yang datang ketika pelajar tiada di situ?

blog bpi

Tidak hairan 'mask' dibuang merata-rata kan? Jika bekas minuman yang telah habis isinya dibuang merata-rata, apatah lagi benda yang diberi secara percuma pasti sewenang-wenangnya tidak dihargai bahkan dibuang merata-rata mencemarkan lagi pemandangan dan mampu menjejaskan kesihatan jika tidak dibendung. Bukan semua mahasiswa kampus ini bersikap begitu, tetapi hanya segelintir sahaja mampu merosakkan imej UPM Kampus Bintulu dengan hal-hal seperti ini. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.. Bunyinya seperti agak kasar namun inilah realitinya.

Kalau lah semua mahasiswa di kampus ini tidak buang sampah merata-rata. Fikir-fikirkan..

Oleh: Biro Pembangunan Insan MTM KSR

You Want To Know? Good Scientific Explanation


Menggemparkan! Survey Ketidakhadiran ke Solat Jumaat

Pada Jumaat baru-baru ini, 14 Ogos 2009 Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam (JPPI) bersama beberapa wakil mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa jurusan Bacelor Sains Bioindustri (BSBI) telah menjalankan satu gerak gempur ke blok-blok siswa untuk pemantauan dan pemeriksaan pelajar lelaki muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat.

MENGGEMPARKAN! Hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan tersebut, sebanyak 15 individu yang dikenalpasti nama dan butir-butir diri mereka telah dicatatkan. Memandangkan masa pemeriksaan yang agak terhad, petugas-petugas yang memeriksa bilik hanya mencatatkan nombor bilik yang mempunyai penghuni di dalamnya. Sebanyak 20 buah bilik berpenghuni sewaktu muslimin lain solat fardhu Jumaat dicatatkan. Andaikan setiap bilik tersebut diduduki seorang, maka jumlah keseluruhan yang tidak ke Pusat Islam untuk menunaikan solat fardhu Jumaat sebanyak 35 orang! Ya, 35 orang yang berada di bilik.



Berdasarkan kiraan tersebut, kami cuba membuat analisa sebaik-baiknya. Petugas-petugas tidak sempat berjumpa sendiri dengan individu-individu yang terlibat kecuali mereka yang telah disoal mengenai 'keuzuran' mereka. Oleh sebab itu, memandangkan pada hari tersebut telah bermulanya musim demam, kami bersangka baik dalam kalangan mereka ada yang mengalami demam dan menjadi tahanan kuarantin untuk mencegah wabak H1N1 (ketika itu).

Persoalannya, adakah mereka semua yang berada di bilik ketika itu benar-benar dalam keuzuran syari'e; demam, cedera parah, H1N1, pitam, tenat, 'period' dan sebagainya? Hampir semua yang ditemui berada di atas katil sambil tidur dengan nyenyak dan mungkin ada rasa bersalah di dalam lubuk hati. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa ramai juga antara mereka terdiri daripada semester 1. Dengan erti kata lain, bilangan mengikut semester hampir seimbang seolah-olah mempunyai wakilnya tersendiri.

Solat fardhu Jumaat merupakan tuntutan kewajipan buat lelaki yang beragama Islam serta beriman kepada Allah. Andai ditinggalkan tanpa keuzuran syari'e yang dibenarkan, maka berdosa besar hukumnya. Rasulullah juga pernah mengingatkan bahawa apabila 3 kali berturut-turut mereka yang dituntut menunaikan solat Jumaat (lelaki muslim) meninggalkannya dengan sengaja, Allah S.W.T akan tutup pintu hatinya. Maka berbagai-bagai perkara kelalaian lagi yang akan dilakukan.

"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang-orang yang lalai?" (muslim)

Justeru, inilah antara sebabnya operasi seperti ini dijalankan bagi menjaga kehormatan waktu solat Jumaat dan menunaikan tuntutan fardhu kifayah itu sendiri. Paling penting adalah menjadikan kita lebih sensitif dengan isu masyarakat kini yang semakin tidak sensitif dengan tuntutan agama. Mereka yang terlibat diharapkan mempunyai kesedaran serta keinsafan dalam hati serta iltizam perubahan diri agar menjadi insan yang bertaqwa. Andai di dunia berbagai-bagai alasan kita boleh beri untuk tidak menunaikan solat Jumaat secara sengaja, namun akhirat yang menanti anggota kita yang akan menjawabnya. Peringatan buat semua termasuk penulis.

Terima kasih kepada mereka yang menjalankan usaha nahi mungkar ini. InsyaAllah pada masa akan datang dialu-alukan dijalankan bila-bila masa. Cemerlang Beragama, Cemerlang Akademik.

Oleh : Biro Pembangunan Insan MTM Kolej Sri Rajang

Info H1N1: Penting Untuk Mahasiswa UPMKB

Apa itu H1N1?

Viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dari virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yang sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam 'host' yg lebih tinggi di dalam rantaian makanan @ manusia dan semasa di dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi 'air born' dan berjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka Hayat Virus

Oleh kerana ia adalah virus yang air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja, jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host( badan manusia) ia akan mati.

Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yang baik....akan 'bersih' dari virus tersebut.

Apa yg perlu anda tahu ?

Asal virus ini

Sebenarnya telah terdapat outbrake di US sebelum terjadi outbrake di Mexico tetapi tidak dilaporkan kpd WHO. Kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu 'baling batu sembunyi tangan' lalu tercetus la outbrake di Mexico.

Virologi Virus H1N1

Incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari
ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit
pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkit paling cepat dan selewat2nya hari ke-4
H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

Cara Serangan

Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan
Virus ini akan menyerang sistem pernafasan ( seperti selsema burung dan SARS)
peringkat awal, ia hanya pada 'trakea' jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru2 dan boleh menyebabkan kematian akibat 'lung collapse' ia amat merbahaya kpd golongan yg berisiko tinggi

Siapa Yang Berisiko

1.Orang yang ada masaalah 'obesiti' @ gemok
2. Perempuan yang mengandung
3 .Orang yang ada astmatic
4 . Orang2 yang bermasalah dengan sistem imunisasi ( menjalani 'operation yg besar', kanak2 yg belum cukup suntikan imunisasi, golongan2 yang rendah tahap imuniti eg. HIV ext.)
* Kematian yang telah dilaporkan terdiri daripada golongan-golongan di atas

Simptom2

Day 1 - Rasa kurang sihat, tak bermaya
Day 2 - Selsema, batuk dan demam yang kekal ( demam tidak turun walaupun telah mkn ubat demam)
Day 3 - Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
Day 4 - Sakit dada yang teruk....jumpa doktor dengan segera
Day 5 - And above lung collapse @ koma

Langkah-langkah Kawalan

1 – Golongan-golongan yang berisiko, elakkan daripada kesesakan ( kawasan yang padat dengan orang ramai)

2 - Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3 - Elakkan diri jika terdapat 'orang batuk, bersin dan kurang sihat'

4 - Jika kurang sihat, elakkan diri dari beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5 - Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai 'mask' (sekurang2nya 3 ply mask)

6 - Untuk orang yang sihat, elakkan dari kawasan yang padat.

7 - Jika ada tanda2 simptom di atas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8 - Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk 'checkup' kerana di kawasan tersebut mengandungi banyak virus.

9 - Tak perlu ambil anti-viral @ apa2 ubat influenza!! jika sihat dan mengambilnya, akan mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat2 untuk merawat jika terkena jangkitan. Ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yang telah mengambil ubat2 tersebut terlebih awal.

10 - Vaksin hanya akan 'wujud' seawal2nya pada Oktober dan hanya untuk 'frontliner' sahaja dan untuk awam selewat2nya pada 2010.

11- Untuk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di Malaysia . Mengambil masa 6 jam untuk run test kepada 1 batch sample. Jika klinik menyatakan mereka boleh jalankan ujian, itu tidak betul. Tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12 - Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbreak ini. Sama2lah kita berdoa kepada ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu.
Amin.

Ini adalah sumber dari taklimat H1N1 oleh Pengarah Kawalan Penyakit Berjangkit dari Kementerian Kesihatan Malaysia .


(Klik gambar untuk melihat lebih jelas)

Pertandingan Kawad; Selamat Berjaya

Pertandingan Kawad Peringkat Kolej Sri Rajang akan berlangsung pada esok iaitu hari Isnin, 17 Ogos 2009. Syabas saya ucapkan kepada Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) kerana bertungkus lumus memastikan pertandingan tersebut berjalan dengan jayanya walaupun terpaksa mencari penyelesaian dan membuat keputusan terbaik untuk menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Ya, tukarkan MASALAH kepada CABARAN. CABARAN itu adalah PELUANG.

Kursus Finishing School buat Diploma Pengurusan dan Perladangan Makanan (DPPM) dan Diploma Perikanan (DPI) pada hujung minggu membuatkan penganjur 'garu kepala' memikirkan tarikh perlaksanaan pertandingan. Pada asalnya, pertandingan tersebut diadakan pada hari Ahad. Namun, kursus tersebut lebih penting dalam menentukan hala tuju mereka yang terlibat dengan Kursus Finishing School lantas terpaksa akur dengan pihak akademik. Pertandingan kawad sekali gus pembukaan bulan kemerdekaan dianjakkan kepad hari seterusnya.

Apa yang menjadi persoalan saya, kursus tersebut tidak dimasukkan ke dalam takwim fakulti, kurang 2 minggu sebelum kursus itu barulah dinaikkan notis untuk mereka yang terlibat. Sedangkan program kemerdekaan yang 'telah' dirancang dan dimasukkan ke dalam takwim diabaikan. Lantas terus berlaku pertembungan masa antara kursus Finishing School untuk mereka yang masih dalam tempoh kurang setahun lagi sebagai mahasiswa dengan masa pertandingan. Ianya buat saya memikirkan yang mana patut didahulukan apabila takwim menjadi rujukan dengan perancangannya dan apakah matlamat kursus tercapai dalam keadaan mahasiswa bergraduasi pertengahan tahun hadapan?

Antara cabaran yang lain ialah penularan demam dalam kalangan mahasiswa semester 1 terutamanya. Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka dinasihatkan untuk diasingkan bilik tidur daripada bilik asal dan kurangkan berhubung dengan mahasiswa lain. Sedia maklum bahawa penularan wabak H1N1 di negara kita semakin serius. Walaupun kes positif H1N1 di Malaysia kurang berbanding negara-negara jiran, tetapi negara kita mengalami kematian yang lebih tinggi akibat H1N1 berbanding negara-negara tersebut. Mahu tidak mahu, semua pihak di 'kampus hijau' ini wajar bertindak untuk mencegah penularan wabak ujian atau bala dari Tuhan ini dengan iltizam dan sabar. Jaga kebersihan, beradab apabila bersin dan batuk dan pakai penutup mulut dan hidung merupakan antara langkah pengawalan di samping doa dan tawakal kepadaNya.

Justeru, mereka yang demam terpaksa memilih 'kos melepas' untuk tidak menyertai pertandingan kawad yang diadakan setiap dua tahun sekali ini. Natijahnya, beberapa blok terpaksa menghadapi kekurangan peserta kawad yang mengakibatkan sedikit perubahan format pertandingan berlaku. Biarlah saat berharga ini dilepaskan tetapi kesihatan anda terjaga; menunaikan hasrat ibu bapa yang sentiasa harapkan anda sentiasa sihat sejahtera, maka doalah juga kesejahteraan buat mereka.

Pasti cabaran-cabaran yang menduga ini dibayar dengan pengalaman mengatur program, kemahiran menyelesaikan masalah, membuat keputusan serta menajamkan lagi kreativiti untuk mencari alternatif kepada sesuatu masalah. Itulah sebabnya berorganisasi mampu meningkatkan lagi kemahiran insaniah (softskill) apabila kita menghadapi saat begini terutamanya.

Akhir kata, syabas sekali lagi kepada MTM Kolej Sri Rajang atas penganjuran Program Fiesta Putra Merdeka 2009 di bawah kepimpinan saudara Hisyam Izairie pada tahun ini. Aturkanlah program mengikut landasan yang bermoral serta menjaga tatasusila diri agar tidak jauh dari tuntutan syariat dan memastikan aktiviti tersebut benar-benar bermanfaat buat semua. Selamat berjaya juga kepada semua peserta pertandingan kawad bagi setiap blok dan acara lain.

Hafizul Hazman bin Ngaa
Pengerusi
Biro Pembangunan Insan (Siswa)
MTM Kolej Sri Rajang

Kesibukan Menginsafkan

Program Buku Hijau yang telah diperkenalkan oleh Yang Berbahagia Dekan, Dr. Japar Sidik Bujang pada tahun lepas tidak dinafikan memberi impak positif kepada mahasiswa yang baru menempuh alam pertanian. Pada tahun ini, program tersebut telah berlangsung untuk siri yang ke-2. Seusai menyemai, bercucuk tanam, menyiram, membaja dan sebagainya, telah tiba waktu menuai hasil. Sawi, kailan, kacang bendi, dan jagung merupakan antara tanaman terpilih yang sudah mula dituai.

Marilah sama-sama renungkan usaha anda yang terlibat untuk membesarkan tanaman itu sehingga subur menghijau, adakah berbaloi dengan perubahan yang berlaku dalam diri anda? Pada asalnya tidak tahu menahu selok belok menjaga tanaman, cara memegang cangkul bahkan menyiram sekali pun. Kini semua itu boleh diungkapkan sebagai 'alah bisa tegal biasa'. Anda telah menjadi mahasiswa yang berpengalaman memegang cangkul, menyiram, membaja, merumput dan menuai!

Justeru, nilailah juga keadaan ruhaniah anda sekarang, makin suburkah atau makin layu? Kesibukan urusan harian mampu melencongkan prinsip diri seseorang sama ada ke arah lebih baik atau pun lebih buruk kerana kesibukan itu adalah ujian dan cabaran untuk kita apabila bergelar mahasiswa.

Andai dahulunya kaki kita ringan melangkah ke Pusat Islam, kini mungkin terasa berat. Andai dahulunya kita segan dan malu bercampur gaul dengan kawan-kawan, kesibukan juga meleburkan rasa segan dan malu itu hingga meruntuhkan akhlak diri. Andai dahulunya lidah terkaku tetapi hati mahu, kini mungkin juga hati mahu, lidah pun sudah lembut meluahkan kata-kata.

Ya, kesibukan mampu mengubah diri seseorang.

Justeru, ayuh kita janakan kesibukan itu ke arah yang menginsafkan diri dengan menganggap kesibukan itu adalah ujian untuk diri kita yang akan dibayar dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka. Apabila kita menilai sendiri kesibukan yang melanda, tanyalah diri adakah kita merasa manis dengan kesibukan itu atau pun sebaliknya. Manisnya kesibukan dapat dirasakan apabila usaha itu membuahkan hasil lalu menginsafkan diri untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

Dalam kesibukan yang melanda, kunjungilah Pusat Islam yang kian sunyi dek kerana tetamunya yang berkurangan. Di sanalah sumber ilmu, sumber kekuatan ruhaniah, sumber hidayah dan sumber ilham buat sang pemuhasabah
. Salam sukses dan salam renungan.

Hafizul Hazman bin Ngaa
Pengerusi
Biro Pembangunan Insan
Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang

Doa Ibu

(Sila klik pada imej untuk lebih besar)