Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Program Meniti Hidayah IIlahi di Bintulu




Tarikh:
6 hingga 8 Ogos 2009 bersamaan 15 hingga 17 Syaaban 1430H

Tempat:
Masjid Darul Hidayah, Kidurong
Surau Al-Mustaqim, RPR Kidurong
Surau An-Nur, Sungai Plan
Masjid Daerah Bintulu
Masjid Assyakirin Bintulu
* Sila rujuk pada jadual

Anjuran:
Warga Masjid Darul Hidayah Kidurong
dengan kerjasama
Jabatan Agama Islam Bintulu, Jabatan Agama Islam Sibu dan Bintulu Iqra' Centre

Muslimin dan muslimat dijemput hadir

MATLAMAT BIRO

Alhamdulillah, pada 27 Julai 2009 (Isnin), Biro Pembangunan Insan (BPI) Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang telah mengorak langkah ke hadapan dengan mengadakan mesyuarat biro kali ke-3. Antara agenda utama dalam mesyuarat tersebut adalah 'rebranding' atau memperbaharui matlamat biro yang sedia ada sekali gus menambah baik hala tuju biro.

Idea untuk memperbaharui visi, misi dan objektif biro muncul apabila kajian dan semakan terhadap visi, misi dan objektif yang telah diperkenalkan dan menjadi panduan tindakan Biro Pembangunan Insan sebelum ini kelihatan bersifat umum. Oleh itu, menyedari hakikat ini, pimpinan biro dan ahli jawatankuasa telah bersetuju untuk memperbaharui visi, misi dan objektif biro supaya segala gerak kerja dan aktiviti yang diatur oleh biro selari dengan matlamat yang telah digubal dan lebih spesifik. Berikut adalah Matlamat Biro Pembangunan Insan yang baharu:

MATLAMAT BIRO PEMBANGUNAN INSAN

Visi

Menjadi biro yang bertindak dari semasa ke semasa membentuk mahasiswa Kolej Sri Rajang ke arah memiliki modal insan yang cemerlang dan berakhlak mulia serta menjadi biro yang disegani dan dihormati.


Misi

Bertindak membimbing mahasiswa Kolej Sri Rajang ke arah penghayatan nilai-nilai moral, beretika dan bersahsiah tinggi

Bertindak memperkenalkan budaya-budaya yang baik untuk diamalkan selaras dengan ajaran Islam

Bertindak mengawal aktiviti-aktiviti mahasiswa agar tidak jauh dari prinsip agama dan moral


Objektif

Membentuk mahasiswa mempunyai minda kelas pertama serta pembudayaan ilmu yang mantap

Mahasiswa Kolej Sri Rajang mengamalkan nilai-nilai moral tanpa mengira bangsa dan agama

Semangat kesatuan antara kaum ditingkatkan melalui merapatkan jurang perkauman


Digubal pada 27 Julai 2009

Haram Bagi Wanita Cukur Alis, Membentuk Gigi Sempurna

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud:

"Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Mas’ud)

Maksud mengubah ciptaan Allah ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang sudah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

Mencabut bulu kening yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah. Lagipun jika yang dicabut itu yang berselerak, bukan termasuk bulu dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya.

Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya saja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir).

Memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau semburan) adalah harus tetapi tidak mengubahnya kerana ia adalah haram.

Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.

Kasih dan Cinta Dalam Islam

“Syair Arab menyebut, apabila seseorang yang bercinta di tanya, “Apakah kau menyintai atau sedang bercinta dengannya?”, maka dijawabnya, “Oh, tidak…kawan sahaja atau apa sahaja alasannya,” Ketahuilah dia seorang pasangan KAZZAB (penipu)”

******************************************************

“…Rasa hormat adalah asas penting menjalin hubungan cinta yang suci sesuai dengan aturan Allah swt. Hormat kepada perintah Allah, ajaran Rasul serta hormat ke atas hak dan maruah di antara pasangan amat dititik beratkan ke arah satu hubungan yang berkekalan.

Seorang lelaki yang jujur terhadap cinta dan kasih sayang yang terjalin terhadap seorang wanita tidak sewenang-wenangnya menyentuh tangan wanita atau memegang erat tubuhnya. Wanita bukannya objek yang boleh diperalatkan.

Jika ini terjadi, seorang wanita perlu berfikir, apakah pasangan seperti ini mampu melindungi dan menjaga maruahnya apabila berkahwin nanti?

Jika hari ini haknya tergadai kerana seorang yang dinamakan kekasih, apa kesudahan yang bakal berlaku satu hari nanti?…

***************************************************************
Istilah cinta amat popular dan menjadi satu ungkapan setia di bibir-bibir remaja yang
menganggapnya satu kalimah suci dan bererti.

Ada yang berbangga memiliki seorang kekasih yang setia dan mula memasang angan-angan
untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan.

Fanomena ini berlanjutan dari bangku sekolah lagi malah adakalanya membawa kepada
sesuatu di luar jangkauan

Cinta perlu difahami. Semestinya seorang remaja perlu memahami kehendak dan definisi yang tepat.

Tanya pada diri, sama ada cinta hanya sekadar gelojak perasaan serta rasa tertarik antara satu sama lain cukup untuk menjelaskan maksudnya?

Di dalam artikel bertajuk Hakikat Percintaan Dalam Islam, rasa hati yang dinamakan cinta merupakan satu perasaan yang semulajadi di alami oleh setiap insan baik muda mahupun tua.

Allah telah menganugerahkan manusia naluri untuk meneruskan keturunan (salah satunya,
menyukai pasangan berlainan jantina) atau dikenali dengan gharizah Al-Nau’.

Ini merupakan salah satu naluri manusia dari yang tiga iaitu gharizah Al-baqa’ (naluri untuk meneruskan kehidupan dan mempertahankan), gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk menyembah dan beragama) dan gharizah Al-Nau’.

Jadi adanya perasaan itu sememangnya sudah fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak haram di sisi Islam.

Dalam keadaan ini, manusia perlu memahami kedudukan cintanya dan ke mana hala tuju

Malangnya remaja hilang punca dan meletakkan satu kesimpulan yang mudah tentang hakikat cinta.

Cinta perlu difahami sebagai satu rasa kasih sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab, kesetiaan, komitmen, keikhlasan, bermaruah dan ada matlamat.

Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam apa yang dikatakan sebagai cinta, maka hubungan
sedemikian sekadar satu permainan dan kepura- puraan sahaja.

Konsep cinta dalam Islam meletakkan satu aturan yang sistematik dan teratur tanpa mengabaikan hubungan antara manusia dan Allah.

Atas dasar ini, Islam meletakkan cinta pada satu kedudukan yang bermaruah dan bernilai baik bagi pihak lelaki dan perempuan.

Ke mana hala tujunya destinasi cinta remaja? Adakah setakat mengisi usia remaja dan
adakalanya putus di tengah jalan?

Mungkin destinasi cinta remaja yang diingini lebih kepada konsep ala Barat yang disifatkan penuh romantis dan indah.

Mulianya cinta berlandaskan Islam kerana cinta yang dibina bermatlamat. Kerana ingin mendapat kasih sayang tuhan, manusia sedia berkongsi rasa cinta dan kasih sayang sesama insan.

Kerana inginkan kasih sayang tuhan jualah, masing-masing ingin selamat-menyelamatkan
antara satu sama lain dari segi hubungan dan kehidupan di dunia untuk mengejar sesuatu yang abadi di akhirat.

Cinta yang dibina bukan cinta kosong tetapi cinta yang punya pengertian yang luhur dan hanya dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih yang sentiasa mencari tuhan

Sesudah Asar

SESUDAH ASAR...

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran tau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

TANDA 40 HARI

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi Kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula. Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak forward this buletin...may ALLAH SWT bless you.

Saling berpesan2lah sesama kita.....

Antara 9 Siti Yang Patut Dicontohi

1) Siti Khadijah

- Beliau merupakan isteri Rasulullah s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah, setia dan menyokong Rasulullah walaupun ditentang hebat oleh org2 kafir dan musyrik, menghantarkan makanan kpd Baginda ketika Baginda beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah

- Anak Rasulullah yg tinggi budi pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd suaminya Ali karamallahu wajhah walaupun Ali miskin. Tidur berkongsikan 1 bantal dan kdg2 berbantalkan lengan Ali. Rasulullah pernah b'kata aku takkan maafkan kamu wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan kamu.

3) Siti Aisyah

- Beliau isteri Rasulullah yg paling romantik. Sanggup berkongsi bekas makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di mana Nabi s.a.w minum di situ beliau akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar
- Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd suami dan suruhan Allah. Sanggup ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang mencari air utk anaknya Nabi Ismail (Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam
- Wanita suci yg mmg pandai menjaga kehormatan diri dan mempunyai maruah yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi Isa.

6) Siti Asiah
- Isteri Firaun yg tinggi imannya dan tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya drpd Firaun Laknatullah.


7) Siti Aminah

- Wanita mulia yg menjadi ibu kandung Rasullullah. Mendidik baginda menjadi insan mulia.

8) Siti Muti'ah

- Isteri yg patut dicontohi dan dijanjikan Allah syurga untuknya kerana setianya kpd suami, menjaga makan minum, menyediakan tongkat utk dipukul oleh suaminya sekiranya layanannya tidak memuaskan hati, berhias dgn cantik utk tatapan suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah

- Wanita kaya dermawan yg menjadi isteri Khalifah Harun Al-Rashid. Sanggup membelanjakan semua hartanya utk membina terusan utk kegunaan org ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

Kempen Jom Ke Pusat Islam Selepas Buku Hijau



Ayuh! Selepas bercucuk tanam bersempena program Buku Hijau, marilah bersama-sama solat berjamaah maghrib di Pusat Islam.

"Tanaman Subur, Hati Juga Makin Subur.. InsyaAllah"

Perlukah Konsep Senioriti Di Kalangan Pelajar UPMKB





Fenomena SENIORITI adalah suatu isu yang sering berbangkit di kalangan manusia bergelar 'pelajar' sama ada peringkat sekolah menengah mahupun di institut pengajian tinggi am dan swasta. Kebiasaannya, senioriti berlaku di kalangan kelompok pelajar yang tinggal dalam sesuatu kawasan yang sama atau dikenali sebagai asrama.

Dengan erti kata lain, senioriti merupakan isu. Senioriti itu tradisi. Senioriti itu gaya pemikiran dan konsep senioriti juga dapat diterjemahkan dengan berbagai pandangan. Bahasa mudahnya senioriti bermaksud kekananan atau individu mahupun kelompok pada peringkat yang lebih tinggi yang menjadi keutamaan.

Semalam telah berlangsung debat ala-parlimen peringkat Kolej Sri Rajang bersempena Minggu Jalinan Muhibbah yang dianjurkan Majlis Tertinggi Mahasiswa. Saya agak tertarik apabila kesemua peserta terdiri daripada mahasiswa baharu kerana menjadi antara syarat pertandingan. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Minggu Jalinan Muhibbah kerana memuatkan pertandingan debat ala-parlimen ini sebagai salah satu tentatif program.

Melalui program tersebut mampu mengasah bakat mahasiswa baharu di samping mengenal pasti tahap pemikiran di kalangan mereka.Walaupun di kalangan mereka ada yang tidak berpengalaman, tetapi saya percaya mereka telah mencuba yang terbaik dengan lontaran hujah yang sihat. Tahniah sekali lagi kerana memartabatkan budaya intelektual di sini. Tajuk debat pada malam ini adalah "Perlukah Konsep Senioriti Senioriti Di Kalangan Pelajar UPM Kampus Bintulu"

Tajuk tersebut nampak terfokus kepada peringkat kampus ini lalu memberi ruang kepada hujah yang lebih spesifik di Kolej Sri Rajang. Bila bergelar mahasiswa baharu, pasti ada sedikit kerisauan untuk menyatakan hujah yang ikhlas selaku barisan yang tidak bersetuju adanya senioriti di UPMKB. Jadi, bila berada di pihak kerajaan, setuju 100% bahawa senioriti itu perlu sebaliknya pihak pembangkang 100% tidak setuju. Oleh itu, seakan-akan nampak peranan mereka hanya dalam sebuah pertandingan debat. Jadi, tidak timbul soal tidak puas hati di kalangan senior kerana mereka tahu adik-adik itu hanya menjalankan tugas di pihak kerajaan dan pembangkang.

PERLUKAH?

Pada asasnya, bukanlah senioriti yang menjadi masalah utama kerana senior tetap senior. Junior tetap junior dan bakal menjadi senior juga akhirnya. Mustahil seorang mahasiswa yang lama tidak mengaku dirinya senior sedangkan hakikatnya dia bukan mahasiswa baharu. Seorang junior pula terpaksa akur bahawa dia masih baru yang bergelar junior. Namun, harus kita renungkan adakah senioriti itu dimanfaatkan atau disalahgunakan?

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa di UPM Kampus Bintulu harus mengamalkan konsep kesederhanaan dalam senioriti. Selaku mahasiswa yang lebih awal melangkah ke alam universiti seiring dengan pengalaman masing-masing, sudah tentu mereka yang mencorak gaya kehidupan mahasiswa baharu. Andai dicorak dengan baik dan matang, maka baik dan matanglah mereka. Sebaliknya jika diconteng dengan budaya hedonisme semata-mata ke dalam hati mereka, maka sedarlah yang menconteng itu telah mempromosi budaya hedonisme haram yang bakal berterusan.

Jadilah seorang senior yang matang dan mematangkan yang lain terutamanya mahasiswa baharu. Orientasi yang dijalankan mampu membina pekerti yang mulia serta bermanfaat untuk universiti. 3S yang diperkenalkan harus kita tonjolkan terlebih dahulu supaya mudah mereka ikut.

Bila berjenaka, usah dijenakakan seperti Mr. Bean, Senario dan pelawak-pelawak tertentu sebaliknya humoriti yang di'enjoy'kan itu hanyalah sekadar halwa buat mereka yang masih penat, ingin menyesuaikan diri serta masih rindukan keluarga di kampung. Saya faham sesetengah senior ingin memahatkan sebuah pengalaman berharga dalam hati mereka dengan membuat hal yang melucukan tetapi awas! Mata pisau yang tajam usah ditumpulkan.

Menurut maklumat, kebanyakan di kalangan mereka bersekolah di sekolah berasrama. Saya percaya ramai juga yang pernah menjadi pemimpin pelajar di sekolah dahulu sama ada ketua pengawas dan pengawas, presiden BADAR, pengawas perpustakaan, pengerusi kelab dan unit beruniform, kapten pasukan sukan serta mungkin persatuan-persatuan luar sekolah. Jadi, sudah tentu bakat kepimpinan mereka serta kemahiran berorganisasi telah diterapkan dari dahulu lagi. Usah ditumpulkan bakat itu. Rapatkan jurang ilmu sesama kita kerana mana kita tahu kemahiran dan ilmu mereka lebih baik dan banyak dari mahasiswa yang lama.

SENIOR MENJADI IKUTAN

Apabila melangkah sahaja ke alam universiti, pasti seribu satu hal dalam fikiran mereka. Mereka tercari-cari jalan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Siapakah lagi yang menjadi rujukan mereka andai tak tahu, tak faham atau tak tahan melainkan merujuk dahulu kepada 'orang lama' di sini. Sepanjang Minggu Perkasa Putra mereka sentiasa merujuk kepada pembantu universiti dan selepas darinya sekali pun.

Awas.. Gerak laku anda diperhatikan

Segala tingkah laku sama ada baik atau buruk senior akan diperhatikan. Mereka akan menilainya apakah itu boleh, ini boleh. Kalau tabiat 'tak pe' di sana sini diamalkan, berwaspadalah. Andai ada tabiat buruk dalam diri, sembunyikan. Bukan bertujuan hipokrit namun inilah kehidupan. Ada hal yang boleh ditonjolkan tetapi banyak juga patut dirahsiakan.


Respect Senior, Takut Akan TUHAN

Tidak keterlaluan rasanya apabila saya katakan ada yang mentafsirkan respect kepada senior bererti takut kepada mereka bagaikan hamba takutkan tuannya.

"Mat! Ko basuh seluar dalam aku."

"Baik bang, stokin pun boleh, bagilah pada saya."

Ayat itu hanyalah analogi sahaja yang menunjukkan bila senior mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada sang junior, oleh sebab ada perasaan takut, benang basah pun ditegakkan. Berlebih-lebih untuk menyokong tindakan senior itu sedangkan dari sekolah rendah kita sering dengar ungkapan "berani kerana benar, takut kerana salah".





" Respect akan senior selaku orang yang lebih tua dan pengalaman yang lebih. TAKUT akan TUHAN kerana kita hambanya buat selama-lamanya". Menjadi norma masyarakat, yang tua dihormati dan yang muda disayangi. Amalkanlah..

Suatu hal yang patut dibentuk di kalangan mahasiswa kini adalah 'critical thinking'. Critical thinking bermaksud berfikiran kritis untuk mendapat hasil yang lebih baik. Idea yang telah ada, terus bercambah di samping menyumbangkan idea dan pandangan yang lebih hebat lagi.

Sebagai ingatan kepada adik-adik mahasiswa baharu, universiti bukanlah hanya tempat anda pergi ke kuliah, menduduki peperiksaan dan mendapat Diploma semata-mata. Akademik itu penting, tetapi di sinilah bumi kita berpijak. Carilah segala pengalaman yang berharga dan bermanfaat melalui penyertaan ke dalam kelab-kelab dan persatuan-persatuan untuk menambah softskill. Ramai yang boleh memiliki hardskill namun, mendapat softskill atau disebut sebagai kemahiran insaniah hanya melalui proses pengalaman yang berterusan.

Dekatkanlah diri dengan tuhan, berpegang teguhlah dengan Islam sebagai tanda kita syukur atas nikmat dariNya. Paling penting, mulai saat ini ukirlah KEIKHLASAN yang paling tinggi hadir ke UPM Kampus Bintulu untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Buanglah jauh-jauh niat buruk di hati yang bisa menghancurkan diri kelak. Akhir kata, selamat berjaya dan saya doakan kita semua sentiasa dirahmati dan diampunkan dosa.

HAFIZUL HAZMAN BIN NGAA
PENGERUSI
BIRO PEMBANGUNAN INSAN (SISWA)
KOLEJ SRI RAJANG