Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Perlunya Memupuk Budaya Rekacipta dalam Masyarakat



Budaya rekacipta di kalangan rakyat Malaysia kurang menyerlah dan tidak diberi perhatian yang khusus. Masyarakat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu merasakan bahawa amalan merekacipta bukan budaya mereka. Oleh kerana inilah, pada masa kini kita dianggap sebagai satu masyarakat pengguna, iaitu satu masyarakat yang hanya pandai mengguna ciptaan orang lain dan bukanlah masyarakat yang menghasilkan sesuatu ciptaan. Namun sebenarnya, tanggapan bahawa budaya rekacipta bukan budaya masyarakat Melayu juga adalah salah.

Cuba perhatikan masyarakat Melayu dahulu yang bijak mencipta pantun, peribahasa, syair dan pandai pula membina rumah mengikut keadaan cuaca di negara ini. Bukankah ini juga satu perbuatan merekacipta yang boleh dikatakan tinggi nilainya? Oleh itu, menidakkan budaya rekacipta dalam masyarakat kita juga adalah tidak benar. Dari sudut pandangan hidup Islam pula, kegiatan merekacipta adalah amat mudah difahami. Apa yang perlu diingat oleh setiap Muslim, rekacipta adalah sifat dan hak mutlak Maha Pencipta yang menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada. Di dalam al-Quran seringkali kita menemukan ayat-ayat yang menunjukkan bahawa sifat Maha Pencipta, misalnya surah al-An'am: ayat 101 & 102 dan surah Yaasiin: ayat 81.

Sebagai hamba-Nya pula, kita perlu memahami bahawa sesuai dengan kejadian dan tanggungjawab yang diberikan kepada manusia, manusia berpegang kepada amanah untuk menjaga dan memakmurkan bumi. Oleh itu, apa-apa usaha untuk menambah baik kehidupan manusia di samping memelihara ciptaan-Nya adalah dituntut. Dengan itu, rekacipta bagi manusia adalah wajar dan dengan itu manusia dianugerahkan akal atau kemampuan untuk memikirkan rekacipta tertentu. Dalam hal ini, sikap pereka cipta yang merasakan bahawa hasil rekaciptanya adalah yang terbaik dan paling sempurna adalah bercanggah dengan pandangan hidup Islam.

Lanjutan itu juga, setiap Muslim digalakkan untuk memelihara daya rekacipta yang dianugerahkan Tuhan. Galakan ini tidak bermakna kita cuba meniru atau mengambilalih peranan Maha Pencipta tetapi lebih kepada satu galakan untuk meneroka dan meningkatkan kemampuan diri untuk kebaikan semua termasuk diri, manusia lain serta makhluk dan alam keseluruhannya. Oleh itu, apa-apa hasil rekacipta manusia haruslah bermatlamatkan kesejahteraan untuk semua.

Dalam membicarakan matlamat rekacipta, iaitu kesejahteraan untuk semua, apakah pula kepentingan rekacipta kepada masyarakat? Terdapat sekurang-kurangnya tiga kepentingan rekacipta dalam masyarakat. Pertama, selalunya (namun bukan setiap masa) kegiatan rekacipta bermula dengan satu masalah. Hasil rekacipta dibuat untuk menyelesaikan satu masalah yang dihadapi. Oleh itu, dengan adanya rekacipta, kita boleh membantu menyelesaikan sesetengah masalah yang wujud dalam masyarakat. Perlulah diingatkan di sini bahawa rekacipta tidak melibatkan barangan semata-mata. Cetusan pemikiran yang baru juga adalah dianggap sebagai hasil rekacipta. Oleh itu, kedua-dua barangan atau cetusan pemikiran ini boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat.

Keduanya, jika budaya rekacipta menjadi kebiasaan dalam masyarakat, maka akan terciptalah lebih banyak pemikiran atau barangan yang berasaskan keadaan dan budaya masyarakat kita. Perlulah kita ingat bahawa ciptaan-ciptaan yang dihasilkan di dunia Barat itu adalah berasaskan budaya dan cara hidup mereka. Kadang-kala, apabila kita membawanya ke sini, ia tidak begitu sesuai digunakan kerana budaya dan cara hidup mereka yang berbeza. Oleh itu, rekacipta oleh rakyat tempatan adalah penting agar hasil rekacipta itu mencerminkan nafas budaya dan cara hidup masyarakat kita.

Ketiganya, rekacipta juga sangat penting jika kita ingin menjadi sebuah negara yang maju. Ini kerana untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh sentiasa meniru dan menggunakan hasil rekacipta dari negara maju yang lain. Jika ini berlaku, maknanya, kita sedang meniru bulat-bulat gaya kemajuan negara lain. Peniruan dan penggunaan hasil rekacipta mungkin hanya sesuai dipermulaan pembangunan sesebuah negara. Namun, pada tahap seterusnya, sesebuah negara itu sudah sepatutnya mempunyai budaya rekacipta tempatan yang kukuh dan dengan itu terhasillah lebih banyak hasil rekacipta rakyat tempatan.

Inilah yang sebenarnya berlaku di negara Jepun. Pada awal pembangunannya, masyarakat negara matahari terbit ini sememangnya gemar meniru lalu menambahbaik barangan atau idea daripada Amerika Syarikat. Hinggakan pada ketika itu, tiada yang memandang tinggi barangan Jepun. Barangan mereka dianggap bermutu rendah. Namun kini, keadaan nyata berbeza. Di mana-mana sahaja, barangan dan teknologi Jepun digunakan dan dianggap antara yang terbaik di dunia.

Berdasarkan apa yang disebutkan di atas, jelas bahawa rekacipta adalah penting dalam masyarakat. Namun, kenapakah kegiatan rekacipta ini tidak begitu menyerlah dalam masyarakat Malaysia? Pada pendangan penulis, berlakunya kekeliruan dan salahfaham masyarakat terhadap amalan merekacipta ini. Antara kekeliruan tersebut adalah kebanyakan daripada kita amat takut dengan perkataan rekacipta itu. Mungkin kita sering merasakan bahawa rekacipta adalah seolah-olah bid'ah. Pandangan sebegini mungkin telah ditanam dalam pemikiran kita yang tidak menggalakkan budaya rekacipta dalam kerja dan hanya mahu kita menurut kata-kata mereka yang dikatakan bijak-pandai.

Selain itu, kita juga sering merasakan bahawa rekacipta ini semestinyalah melibatkan ciptaan yang canggih. Misalnya, kalau seseorang itu dapat mencipta kereta, kapal terbang, penghawa dingin, kamera dan sebagainya, barulah ini dikatakan sebagai hasil rekacipta. Tetapi jika kita hanya berjaya mencipta pin, pen atau butang, maka ini bukan dinamakan sebagai hasil rekacipta. Sebenarnya, pandangan sebegini adalah salah sama sekali. Seperti yang telah disebutkan di awal tadi, rekacipta melibatkan penghasilan barangan atau cetusan pemikiran. Oleh itu, tidak kira besar atau kecil, canggih atau tidak, jika barangan atau cetusan pemikiran itu bermanfaat kepada manusia maka inilah yang dinamakan sebagai reka cipta.

Kebanyakan ahli masyarakat juga berpandangan bahawa untuk mencipta sesuatu, kita haruslah mempunyai pengetahuan mendalam dalam sains dan teknologi. Walau bagaimanapun, ini adalah satu pandangan yang tidak tepat. Rekacipta adalah satu bidang yang menggabungkan pelbagai sains termasuklah teknologi. Namun, bidang sains dan teknologi bukanlah satu-satunya bidang yang kaya dengan rekacipta. Rekacipta juga boleh berlaku dalam pelbagai bidang seperti sastera, ekonomi, seni, bahasa dan sebagainya.

Selain itu, kita juga sering menganggap bahawa rekacipta hanya boleh berlaku jika kita mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang. Dengan kata lain, seorang perekacipta mestilah seseorang yang pakar dalam bidang itu. Ini juga merupakan satu pandangan yang tidak bernas. Kenyataannya, walaupun kepakaran penting, namun ini tidak bermakna orang biasa atau ahli masyarakat umum tidak boleh menghasilkan sesuatu bahan rekacipta yang baru.

Sebenarnya terdapat ramai perekacipta terdiri daripada orang biasa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Misalnya, Thomas Edison, pencipta mentol lampu (light bulb). Semasa kecilnya, beliau sering dimarah dan dianggap oleh gurunya sebagai pelajar yang keliru. Alexander Graham Bell (pencipta telefon) pula, telah meninggalkan sekolah pada usia 15 tahun. Malah tiada yang menarik di dalam rekod sekolahnya. Apa yang banyak dicatatkan dalam rekod tersebut hanyalah catatan ketidakhadirannya ke sekolah dan keputusan peperiksaan yang tidak menarik. Malah, Albert Einstien yang terkenal itu juga seorang yang tidak pandai dalam matematik semasa di sekolah. Oleh itu, kepakaran atau pendidikan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan menjadi pereka cipta yang hebat. Dalam hal ini, pandangan masyarakat perlu diubah agar budaya rekacipta menjadi satu yang biasa dalam kehidupan masyarakat kita.

Kesimpulannya, rekacipta adalah sangat penting dalam masyarakat dan perlu dipupuk. Usaha pemupukan ini hendaklah dimulakan dari usia kecil. Anak-anak boleh digalakkan untuk meneroka dan menghasilkan sesuatu dan tugas ini meliputi tugas ibu bapa, guru, kerajaan dan ahli masyarakat keseluruhannya. Dalam usaha menanamkan budaya rekacipta ini, kita juga perlu memberikan perhatian terhadap sebab seseorang itu merekacipta sesuatu. Anak-anak perlu disedarkan bahawa rekacipta tidak sewajarnya didorong oleh kekayaan (duit) tetapi yang lebih penting semangat sesuatu rekacipta itu hendaklah didasarkan kepada rasa ‘cinta'. Dengan kata lain, merekacipta sesuatu untuk membantu orang lain dan ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua perekacipta di luar sana.

Azrina binti Sobian

Sumber: pkpim.net

Mahasiswa Dalam Mendepani Cabaran Negara

Oleh: Mohd Arif Juhani bin Abdul Rahman*

Tidak boleh tidak seluruh dunia mengakui akan kepentingan mahasiswa dalam proses pembangunan negara. Mahasiswa sewajarnya menjadi juru cakap rakyat, membantu kerajaan dan pembangkang bagi menyelesaikan isu-isu semasa, menjadi kumpulan pendesak (group pressure) yang berkesan dan sebagainya.

Gagasan yang sebesar ini pastinya memerlukan elemen baru dan segar yang dapat diharap dan diakui keunggulannya dalam membentuk pemikiran baru mahasiswa sekali gus membentuk gerakan mahasiswa yang bukan hanya pandai berdemonstrasi dijalan-jalan tetapi mampu menjadi ahli panel yang duduk sebaris dengan tokoh-tokoh negara yang terkemuka dalam acara-acara yang tinggi nilai intelektual.

Mahasiswa seharusnya mampu melontarkan idea dan buah fikiran yang jelas dan tegas seterusnya mampu di hadam aspirasi mereka untuk disambut dan diperjuangkan oleh seluruh mahasiswa negara. Hal ini kelihatan lebih mudah dilaksanakan justeru faktor umur dan kehendak mahasiswa lebih mudah dibaca dan dianalisis oleh mereka yang berada dalam kelompok masyarakat yang sama.

Sistem pendidikan negara terutamanya harus menyedari hakikat ini dengan memberikan ruang yang seluasnya namun tetap terbatas kepada mahasiswa untuk mencapai bentuk kualiti seperti yang diharapkan.

Liberalisasi pendidikan wajar segera di gagas dan dilaksanakan untuk tujuan ini. Liberalisasi pendidikan ini seharusnya difahami bahawa ia merupakan suatu bentuk agenda baru pendidikan diperingkat mahasiswa di mana pelajar seharusnya bebas untuk keluar masuk dalam mana-mana juga kuliah yang diminati mereka.

Hal ini lebih memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam membentuk corak pemikiran mereka sekali gus menambah bantu mereka dalam mematangkan akal budi mereka. Hal ini memang tidak mudah dilaksanakan namun bukanlah sesuatu yang mustahil.

Benar, ada sukarnya justeru dari sudut pengurusan hal ehwal akademi pelajar namun adakah selama ini sistem yang diguna pakai membantu pelajar membina kredibiliti mereka?

Tanyakan sahaja kepada mahasiswa tentang beberapa isu dan nilai sejauh manakah kemampuan mereka bertindak balas dengan setiap soalan yang dilontarkan.

Adalah sesuatu yang malang andai kecemerlangan mahasiswa itu hanya sekadar diukur dalam dewan peperiksaan yang hanya mengambil masa selama lebih dua jam tiga puluh minit atau kurang atau sekadar melihat kepada kualiti tugasan yang diberikan. Siapa dapat menjamin tidak berlakunya penciplakan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Sekurang-kurangnya beberapa kawasan dalam kampus untuk tujuan percambahan minda perlu segera diwujudkan. Biarkan sahaja berapa banyak aliran pemikiran pun mahu bertembung di situ.

Hal ini lebih mudah dikenal pasti daripada kita mengharamkan perbincangan-perbincangan yang kononnya dilihat mahu mencabar status quo. Mahasiswa yang memegang teraju kepimpinan Islam seperti Rakan Masjid (RM), PERKIM dan sebagainya harus mampu memberi jawab balas dengan setiap soalan yang dilontarkan.

Berikan kekuatan kepada Islam itu dengan kita menundukkan mereka dengan hujah-hujah kita. Hal ini pasti dapat dicapai hanya setelah golongan ini luas pembacaan dan perbincangannya. Wacana perdebatan Dr Zakir Naik, Ahmad Deedat, tulisan Harun Yahya (Adnan Oktar), Dr Danial Zainal Abidin, Maurice Bucaille harus menjadi santapan minda ahli gerakan dakwah.

Jangan hanya sekadar membaca tulisan-tulisan harakiyyah dan berdebat tentang perkara-perkara furuiyyah (cabang) semata-mata. Berikan Islam itu nilai saing dan sebarkan kekuatan Islam itu berasaskan hujah dan bukan dengan nilai historikal dan cerita-cerita ajaib yang tidak pernah dikenal dalam nas-nas agama.

Mahasiswa sewajarnya menyalurkan semangat muda yang membuak-buak itu ke saluran yang lebih jelas dan ilmiah. Lontarkan nilai intelektual mahasiswa sebanyak-banyaknya dalam diskusi, perdebatan, forum dan sebagainya. Didik diri untuk selalu mencabar hujah-hujah pensyarah malah golongan ustaz sekalipun andai kita tidak meyakini hujah yang diberikan.

Membangunkan negara bererti membangunkan generasi pelapis. Melihat masa depan negara adalah dengan kita melihat bagaimana hala tuju dan kekuatan generasi sekarang.

——————-

*Penulis merupakan EXCO Perhubungan Luar & Pengantarabangsaan Rakan Masjid Universiti Utara Malaysia (UUM)


Sumber: Mahasiswakini

Posisi tidur menurut Islam dan Sains




Diriwayatkan daripada Barra2 bin ' Azib r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:


إذا أتيت مضجعك فتوضأ وضوءك للصلاة ثم اضطجع على شقك الأيمن...

Maksudnya: "Apabila kamu hendak tidur di tempat pembaringan kamu hendaklah kamu berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian hendaklah kamu baring di lambung kanan kamu.
(Hr Bukhari dan Muslim)



Hadis ini mengajar kepada umat Islam supaya baring pada lambung kanan. Adapun tidur dengan cara yang lain adalah seperti berikut:-

Tidur dengan meniarap

Dr Zafir al-Attar berkata:

"Seseorang yang tidur meniarap diatas perutnya selepas tempoh yang tertentu akan merasai kesusahan untuk bernafas kerana beratnya gumpalan belakang bad an yang besar yang menghalang dada daripada meregang dan mengecut ketika menghembus dan menyedut nafas. Kedudukan seperti ini juga menyebabkan kesukaran pernafasan yang boleh mengganggu jantung dan otak. "

Pengkaji dari Australia telah menyatakan bahawa berlaku peningkatan kematian kanak-kanak kepada tiga kali ganda apabila mereka tidur meniarap dibandingkan jika mereka tidur di lambung kanan atau kiri.

Majalah ' Times ' telah menyatakan bahawa kajian di Britain telah menunjukkan peningkatan kadar kematian mengejut kanak-kanak yang tidur meniarap.

Tidur meniarap adalah dilarang oleh Islam. Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w . Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله

Maksudnya: "Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya."
(Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)


Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: "Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam."
(Hr Ibnu Majah)


Tidur menelentang

Dr Zafir al-Attar berkata:

Tidur menelentang akan menyebabkan pernafasan dengan mulut kerana mulut akan terbuka ketika menelentang disebabkan mereganngya rahang bawah.

Sepatut dan seeloknya hidung yang bernafas kerana ia terdapat bulu2 dan hingus yang menyaring udara yang masuk dan banyaknya saluran darah yang disediakan untuk memanaskan udara.

Bernafas dengan mulut lebih menyebabkan seseorang itu terkena selsema di musim sejuk dan juga menyebabkan keringnya gusi yang akhirnya meneyebabkan radang.

Tidur mengiring ke kiri

Tidur mengiring ke kiri pun tidak elok kerana jantung ketika itu dihimpit oleh paru kanan yang mana ia lebih besar dari paru kiri. Ini akan memberi kesan pada tugas jantung dan mengurangkan kecergasan jantung lebih2 lagi kepada orang yang sudah tua.. Seperti mana perut yang penuh ketika itu akan menekan jantung.

Perbandingan diantara tidur mengiring ke kanan dan tidur mengiring ke ke kiri

Kajian yang telah menunjukkan bahawa makanan yang lalu daripada perut kepada usus berlangsung diantara 2.5 hingga 4.5 jam apabila orang yang tidur mengiring ke kanan. Manakala orang yang tidur mengiring ke kiri memerlukan masa di antara 5 hingga 8 jam bagi proses yang sama.

Tidur yang terbaik

Tidur yang terbaik adalah dengan kedudukan mengiring ke kanan kerana paru kiri lebih kecil daripada paru kanan. Ini menyebabkan jantung menanggung benda yang lebih ringan. Hati juga akan dalam kedudukan tetap stabil dan tidak tergantung. Perut akan bertenggek diatasnya dengan baik. Ini memudahkan untuk mengosongkan makanan dari perut selepas proses penghadaman.

Rujukan: Mausuah al-I ' jazil Qurani Fil Ulum wat Tib wal Falak oleh Dr Nadiah Toyyarah, Musnad Imam Ahmad dan kamus.

Langkah-Langkah kepada Bekas Mahasiswa Untuk Menuju Dunia Keusahawanan

Oleh: Sarfarizmal Md Saad

Apabila memberi istilah ‘bekas mahasiswa’ iaitu suatu istilah baru bagi saya, umum harus memahami bahawa ia membawa makna seseorang yang telah bergraduasi atau lepasan ijazah. Dalam zaman kini, riuh diperkatakan tentang masalah pengangguran dalam kalangan lepasan ijazah atau bekas mahasiswa ini tanpa mengira universiti dan bidang. Satu bidang yang ramai mengesyorkan ia ialah bidang keusahawanan.
Usahawan sebenarnya adalah seseorang yang memiliki sifat kreatif dan inovatif yang akan membawa kepada penciptaan barangan baru dalam dunia pasaran. Oleh itu, sebelum sesuatu barangan baru itu diperkenalkan ke dalam pasaran, maka suatu proses keperluan mengeluarkan barangan tersebut akan berlaku. Hal ini akan membuka kepada pekerjaan baru dalam pasaran.

Ramai mengakui bahawa, para bekas mahasiswa seharusnya menceburi bidang usahawan ini dengan lebih agresif dan berdaya saing. Oleh itu, persoalan yang timbul ialah apakah langkah-langkah yang harus dimiliki untuk bergelar usahawan muda?

Bagi saya, persoalan ini amat mudah dijawab. Antara langkah seorang lepasan ijazah yang berhajat menceburi bidang keusahawanan ialah beliau haruslah memiliki matlamat yang jelas. Bak kata pepatah, kunci kejayaan diri seseorang adalah wujudnya tujuan hidup atau matlamat. Oleh itu, bagi seseorang yang mengimpikan sesuatu kejayaan, yang paling penting bagi saya ialah matlmat hidupnya yang tepat dan jelas. Sebagai seorang usahawan, seseorang itu memerlukan matlamatnya sendiri agar setiap gerak kerja dan kehidupannya memiliki hala tuju yang jelas dan teratur.

Langkah kedua yang harus ada pada diri seseorang lepasan ijazah untuk menjadi usahawan berjaya ialah mempunyai perancangan yang baik. Tidak kira perancangan jangka pendek atau jangka panjang, yang penting di sini ialah keperluan untuk merancang demi bidang keusahawanan dan kehidupan diri sendiri. Seperti yang ramai sedia maklum, kita adalah perancang dan penentu hidup kita, maka melalui konsep tersebut telah membuktikan bahawa peripentingnya perancangan yang tersusun rapi itu kepada seseorang yang bergelar usahawan muda.

Langkah ketiga yang harus diambilkira ialah memiliki imej kendiri yang baik atau positif. Imej kendiri yang positif seperti yakin, berani, jujur dan bijak merupakan suatu momentum pertama sebelum menggerakkan sesuatu tindakan yang mampu membawa perubahan dalam kehidpuan. Jika seseorang usahawan memiliki perasaan takut, malu, bosan dan benci, maka penonjolan imej tersebut melalui tindak tanduk juga akan berbeza dan menjadi lemah sehingga mempengaruhi bukan sahaja bidang keusahawanan yang diceburi, malah mampu mempengaruhi orang disekeliling untuk turut berasa lemah.

Langkah keempat ialah keyakinan diri atau kesungguhan untuk bergelar usahawan. Maznah Hamid seorang pakar motivasi dan usahawan berjaya pernah mengungkapkan bahawa bidang keusahawanan ini seperti medan peperangan yang memerlukan persediaan yang rapi untuk menggapai kemenangan. Sebagai seorang pejuang di medan perang, haruslah memiliki strategi, senjata yang cukup dan baik, mengetahui selok belok medan peperangan, mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan, dan juga yakin untuk memulakan serangan terhadap musuh.

Langkah kelima yang perlu ada untuk bergelar usahawan ialah cabar potensi diri dan sikap diri. Untuk memperoleh kejayaan dalam bidang usahawan, sikap negatif tidak perlu ada dalam diri. Oleh itu, ia harus dibuang jauh-jauh dan cara pemikiran juga harus ditukar. Apabila cara pemikiran kita berubah, maka ia akan memberi kesan kepada tindakan kita yang turut akan mengalami perubahan yang akhirnya memberi kesan optimum terhadap bidang keusahawanan tersebut.

Langkah terakhir yang saya ingin kongsi ialah berkenaan bakat seseorang usahawan. Seperti yang pernah diperkatakan oleh Bob Hope bahawa bakat merupakan nombor 10 dalam senarai yang mesti ada bagi seseorang untuk berjaya. Bakat adalah bukan sejak azali, ia boleh dibentuk, dididik melalui aktiviti, latihan dan sebagainya.

Bidang keusahawanan sememangnya memiliki peluang yang agak cerah jika ia benar-benar diamati dan diambil serius terutama lepasan ijazah. Seharusnya, mentaliti kerja yang sesuai untuk lepasan ijazah ini ialah pegawai haruslah dikikis demi survival kualiti dan imej lepasan ijazah dimata masyarakat umum. Mana-mana manusia atau pekerja tidak mampu menjadi kaya jika bekerja sebagai makan gaji, namun manusia dapat menjadi bos dan kaya sekiranya mengamalkan bidang keusahawanan secara serius dan istiqomah

Dipetik dari mahasiswakini.com