Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Cinta Bertumpang-tumpangan



"Jual mahal lah awak ni.." mengeluh Amir.

"Saya bukan tak nak, tapi takut.." balas Siti yang masih teragak-agak.

"Apa yang awak takutkan? Kan saya ada..sekejap je. Lepas beli barang, terus balik." Si Amir pujuk lagi.

"Ni kan kali pertama awak ajak saya keluar, eee..saya tak biasa lah. Kalau mak dan ayah tahu, habis saya.." Siti cuba mengelak.

"Hmm.. Ok. Saya janji belanja awak makan KFC. Tentu awak lapar kan. Macam mana, sayang.. Kalau awak sayangkan saya, temanlah saya keluar sekejap je. Lepas tu kita makan. Abang janji." Amir balas dengan tawaran yang lebih baik.

"Awak ni, pandai pujuk saya ya, mentang-mentanglah tahu makanan favourite saya.. Abang janji sekejap saja ya, kali ni je saya ikut." Kata Siti yang termakan pujuk rayu Amir.

"Ok. Saya janji.. tak lama, sekejap je.." Balas Amir lagi.

Hati sentiasa berbisik-bisik mahukan teman hidup. Tempat meluahkan perasaan, berbicara, menceritakan masalah dan mahukan pendengar yang baik. Hati ketika alam remaja juga berhasratkan seorang teman hidup suatu hari nanti. Oleh itu, teman yang dicari adalah individu yang sentiasa faham akan masalah diri, mengambil berat, serta saling menghormati. Dengan erti kata lain, segala-galanya saling berkongsi dengan penuh pengertian. Segala-galanya bermula dari sekarang.

Fitrah makhluk yang bergelar manusia memang begitu bahkan mereka yang meletakkan cinta kepada Allah dan Rasulnya melebihi segala-galanya juga punya perasaan yang sama. Menjadi sunnatullah untuk manusia bermulanya ketika Allah menciptakan Adam dan Hawa, lelaki cenderung kepada wanita manakala wanita lebih cenderung kepada lelaki. Kehidupan lelaki bagaikan tidak lengkap tanpa kehadiran wanita dalam hidupnya dan sebaliknya. Bagaikan sang kumbang memerlukan bunga dan perigi memerlukan timba.

BERCINTA MUDA: 10 TAHUN LAGI BAGAIMANA?

Ramai muda mudi hari ini bercinta atau bahasa lebih kasarnya 'bercouple'. Namun, apakah benar bercouple zaman darah panas ini membawa kepada kebahagiaan hidup yang sempurna untuk masa akan datang? Hari ini saling meluahkan, saya sayang awak, saya cintakan awak.

Mampukah ungkapan sebegini menjanjikan perasaan yang sama 10 tahun lagi dalam keadaan sekarang yang sudah jemu bercinta ketika zaman muda yang kononnya telah khatam mengenal hati budi masing-masing? Anda akan mengungkitnya 10 tahun lagi.. tak hairanlah awak curang kepada saya. Dari dulu pun saya dah curiga, tetapi saya bersangka baik. ATAU awak benar-benar dah berubah! Si isteri yang dahulunya ketika zaman remaja merasakan teman lelakinya itu sebagai orang yang memahami diri, sentiasa mengambil berat, setia dan baik hati rupa-rupanya seorang yang curang setelah berkahwin. Si suami pula merasakan terabai, bahkan menunding jari bahawa isterinya sudah berubah. Memang slack!

Ungkit mengungkit ketika keindahan zaman cinta mudanya terus berlaku saling bertempias dan berangkai-rangkai.

BETULKAN SALURAN

Rasa cinta tidak salah tetapi pembawa cinta itu yang sering salah.

Bayangkan sebuah kereta mercedes yang mahal harganya, tentunya kereta itu cukup selesa, stereng yang baik, kurang rasa hentakan di jalan berlubang-lubang dan kurang gayatnya apabila dipandu laju. Apabila suatu hari kereta tersebut terbabas mengalami kemalangan, wajarkah kita menyalahkan kereta tersebut? Pemandu tersebut tetap dipersalahkan. Pastinya majoriti orang ramai di tempat kejadian akan berkata rugi betul mercedes tu hancur, kalau bagi satu kat aku pun tak apa. Mereka pun lupa akan pemandu yang membawa mercedes yang cedera parah tu!

Begitulah cinta yang pada asalnya bersesuaian dengan fitrah manusia apabila cinta itu 'dipandu' dengan betul. Sekiranya cinta yang ditunggangi penuh dengan fitnah serta kemaksiatan bakal membawa kepada kemusnahan, kecelakaan pada diri jika kita tidak berhati-hati menyelianya. Niat percintaan itu mesti dibetulkan. Laluan yang dilalui andai rosak, tempelkan dahulu dengan membaiki kelemahan yang ada. Gunakan hanya perlu kerana jika asyik menggunakannya selalu, maintenance juga tinggi. Pernyataan di sini bukanlah mahu menggalakkan bercinta tetapi diharapkan menjadi muhasabah diri buat mereka yang sedang asyik dibuai cinta buta.

CINTA BERTUMPANG-TUMPANGAN

Menjadi fenomena dalam masyarakat apabila menganggap perbuatan mengusung girlfriend di atas satu motor ke sana ke mari adalah suatu hal yang biasa. Ini suatu yang menyakitkan umat.

Ketahuilah tidak halal seorang wanita untuk lelaki menyentuhnya melainkan dengan jalan pernikahan. Sebaliknya juga, wanita diharamkan menyentuh lelaki bukan muhrim. Benar, hanya jalan pernikahan membolehkannya melainkan tujuan-tujuan yang dibenarkan syariat. Letakkanlah keutamaan agama dalam diri melebihi kepentingan diri sendiri. Allah yang mencipta manusia pasti mengetahui kekuatan dan kelemahan manusia. Justeru, Allah menetapkan peraturan untuk manusia supaya manusia memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Peraturan-peraturan hukum di dalam agama bukanlah rekaan semata-mata namun Allah maha penyayang menyampaikan manual kehidupan sejahtera buat makhluknya yang sering lalai.

Rasa cinta tidak salah tetapi pembawa cinta itu yang sering salah.

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (hadis riwayat Bukhari)

Mohon ampun kaum wanita, Rasulullah telah mengingatkan kaum lelaki lebih seribu tahun dahulu melalui hadisnya ini. Justeru, berusahalah mengelakkan diri dari terjebak kepada cinta terlarang. Sekiranya hari ini kita bergembira dengan tanpa batasan syariat, berjalan-jalan bersama kekasih tanpa ikatan pernikahan, bersedialah untuk menangis esok hari untuk kita dihukum kerana melakukan hal tersebut yang dibenci tuhan.

Cinta sebenar kepada kekasihnya adalah cinta yang membawa kepada kesejahteraan di dunia dan menuju ke syurga. Jika kita terjebak dengan cinta yang bakal menghumbankan diri ke neraka, mohon hidayah Allah agar kembali ke pangkal jalan.

Bercinta sesama manusia untuk mencari keredhaanNya, Cinta Allah dan rasul paling utama.

Disediakan oleh: Biro Pembangunan Insan MTM KSR

0 comments:

Post a Comment

<