Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Perlukah Konsep Senioriti Di Kalangan Pelajar UPMKB





Fenomena SENIORITI adalah suatu isu yang sering berbangkit di kalangan manusia bergelar 'pelajar' sama ada peringkat sekolah menengah mahupun di institut pengajian tinggi am dan swasta. Kebiasaannya, senioriti berlaku di kalangan kelompok pelajar yang tinggal dalam sesuatu kawasan yang sama atau dikenali sebagai asrama.

Dengan erti kata lain, senioriti merupakan isu. Senioriti itu tradisi. Senioriti itu gaya pemikiran dan konsep senioriti juga dapat diterjemahkan dengan berbagai pandangan. Bahasa mudahnya senioriti bermaksud kekananan atau individu mahupun kelompok pada peringkat yang lebih tinggi yang menjadi keutamaan.

Semalam telah berlangsung debat ala-parlimen peringkat Kolej Sri Rajang bersempena Minggu Jalinan Muhibbah yang dianjurkan Majlis Tertinggi Mahasiswa. Saya agak tertarik apabila kesemua peserta terdiri daripada mahasiswa baharu kerana menjadi antara syarat pertandingan. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Minggu Jalinan Muhibbah kerana memuatkan pertandingan debat ala-parlimen ini sebagai salah satu tentatif program.

Melalui program tersebut mampu mengasah bakat mahasiswa baharu di samping mengenal pasti tahap pemikiran di kalangan mereka.Walaupun di kalangan mereka ada yang tidak berpengalaman, tetapi saya percaya mereka telah mencuba yang terbaik dengan lontaran hujah yang sihat. Tahniah sekali lagi kerana memartabatkan budaya intelektual di sini. Tajuk debat pada malam ini adalah "Perlukah Konsep Senioriti Senioriti Di Kalangan Pelajar UPM Kampus Bintulu"

Tajuk tersebut nampak terfokus kepada peringkat kampus ini lalu memberi ruang kepada hujah yang lebih spesifik di Kolej Sri Rajang. Bila bergelar mahasiswa baharu, pasti ada sedikit kerisauan untuk menyatakan hujah yang ikhlas selaku barisan yang tidak bersetuju adanya senioriti di UPMKB. Jadi, bila berada di pihak kerajaan, setuju 100% bahawa senioriti itu perlu sebaliknya pihak pembangkang 100% tidak setuju. Oleh itu, seakan-akan nampak peranan mereka hanya dalam sebuah pertandingan debat. Jadi, tidak timbul soal tidak puas hati di kalangan senior kerana mereka tahu adik-adik itu hanya menjalankan tugas di pihak kerajaan dan pembangkang.

PERLUKAH?

Pada asasnya, bukanlah senioriti yang menjadi masalah utama kerana senior tetap senior. Junior tetap junior dan bakal menjadi senior juga akhirnya. Mustahil seorang mahasiswa yang lama tidak mengaku dirinya senior sedangkan hakikatnya dia bukan mahasiswa baharu. Seorang junior pula terpaksa akur bahawa dia masih baru yang bergelar junior. Namun, harus kita renungkan adakah senioriti itu dimanfaatkan atau disalahgunakan?

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa di UPM Kampus Bintulu harus mengamalkan konsep kesederhanaan dalam senioriti. Selaku mahasiswa yang lebih awal melangkah ke alam universiti seiring dengan pengalaman masing-masing, sudah tentu mereka yang mencorak gaya kehidupan mahasiswa baharu. Andai dicorak dengan baik dan matang, maka baik dan matanglah mereka. Sebaliknya jika diconteng dengan budaya hedonisme semata-mata ke dalam hati mereka, maka sedarlah yang menconteng itu telah mempromosi budaya hedonisme haram yang bakal berterusan.

Jadilah seorang senior yang matang dan mematangkan yang lain terutamanya mahasiswa baharu. Orientasi yang dijalankan mampu membina pekerti yang mulia serta bermanfaat untuk universiti. 3S yang diperkenalkan harus kita tonjolkan terlebih dahulu supaya mudah mereka ikut.

Bila berjenaka, usah dijenakakan seperti Mr. Bean, Senario dan pelawak-pelawak tertentu sebaliknya humoriti yang di'enjoy'kan itu hanyalah sekadar halwa buat mereka yang masih penat, ingin menyesuaikan diri serta masih rindukan keluarga di kampung. Saya faham sesetengah senior ingin memahatkan sebuah pengalaman berharga dalam hati mereka dengan membuat hal yang melucukan tetapi awas! Mata pisau yang tajam usah ditumpulkan.

Menurut maklumat, kebanyakan di kalangan mereka bersekolah di sekolah berasrama. Saya percaya ramai juga yang pernah menjadi pemimpin pelajar di sekolah dahulu sama ada ketua pengawas dan pengawas, presiden BADAR, pengawas perpustakaan, pengerusi kelab dan unit beruniform, kapten pasukan sukan serta mungkin persatuan-persatuan luar sekolah. Jadi, sudah tentu bakat kepimpinan mereka serta kemahiran berorganisasi telah diterapkan dari dahulu lagi. Usah ditumpulkan bakat itu. Rapatkan jurang ilmu sesama kita kerana mana kita tahu kemahiran dan ilmu mereka lebih baik dan banyak dari mahasiswa yang lama.

SENIOR MENJADI IKUTAN

Apabila melangkah sahaja ke alam universiti, pasti seribu satu hal dalam fikiran mereka. Mereka tercari-cari jalan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Siapakah lagi yang menjadi rujukan mereka andai tak tahu, tak faham atau tak tahan melainkan merujuk dahulu kepada 'orang lama' di sini. Sepanjang Minggu Perkasa Putra mereka sentiasa merujuk kepada pembantu universiti dan selepas darinya sekali pun.

Awas.. Gerak laku anda diperhatikan

Segala tingkah laku sama ada baik atau buruk senior akan diperhatikan. Mereka akan menilainya apakah itu boleh, ini boleh. Kalau tabiat 'tak pe' di sana sini diamalkan, berwaspadalah. Andai ada tabiat buruk dalam diri, sembunyikan. Bukan bertujuan hipokrit namun inilah kehidupan. Ada hal yang boleh ditonjolkan tetapi banyak juga patut dirahsiakan.


Respect Senior, Takut Akan TUHAN

Tidak keterlaluan rasanya apabila saya katakan ada yang mentafsirkan respect kepada senior bererti takut kepada mereka bagaikan hamba takutkan tuannya.

"Mat! Ko basuh seluar dalam aku."

"Baik bang, stokin pun boleh, bagilah pada saya."

Ayat itu hanyalah analogi sahaja yang menunjukkan bila senior mengatakan sesuatu yang tidak sepatutnya kepada sang junior, oleh sebab ada perasaan takut, benang basah pun ditegakkan. Berlebih-lebih untuk menyokong tindakan senior itu sedangkan dari sekolah rendah kita sering dengar ungkapan "berani kerana benar, takut kerana salah".





" Respect akan senior selaku orang yang lebih tua dan pengalaman yang lebih. TAKUT akan TUHAN kerana kita hambanya buat selama-lamanya". Menjadi norma masyarakat, yang tua dihormati dan yang muda disayangi. Amalkanlah..

Suatu hal yang patut dibentuk di kalangan mahasiswa kini adalah 'critical thinking'. Critical thinking bermaksud berfikiran kritis untuk mendapat hasil yang lebih baik. Idea yang telah ada, terus bercambah di samping menyumbangkan idea dan pandangan yang lebih hebat lagi.

Sebagai ingatan kepada adik-adik mahasiswa baharu, universiti bukanlah hanya tempat anda pergi ke kuliah, menduduki peperiksaan dan mendapat Diploma semata-mata. Akademik itu penting, tetapi di sinilah bumi kita berpijak. Carilah segala pengalaman yang berharga dan bermanfaat melalui penyertaan ke dalam kelab-kelab dan persatuan-persatuan untuk menambah softskill. Ramai yang boleh memiliki hardskill namun, mendapat softskill atau disebut sebagai kemahiran insaniah hanya melalui proses pengalaman yang berterusan.

Dekatkanlah diri dengan tuhan, berpegang teguhlah dengan Islam sebagai tanda kita syukur atas nikmat dariNya. Paling penting, mulai saat ini ukirlah KEIKHLASAN yang paling tinggi hadir ke UPM Kampus Bintulu untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Buanglah jauh-jauh niat buruk di hati yang bisa menghancurkan diri kelak. Akhir kata, selamat berjaya dan saya doakan kita semua sentiasa dirahmati dan diampunkan dosa.

HAFIZUL HAZMAN BIN NGAA
PENGERUSI
BIRO PEMBANGUNAN INSAN (SISWA)
KOLEJ SRI RAJANG

0 comments:

Post a Comment

<