Oleh: Mohd Arif Juhani bin Abdul Rahman*
Tidak boleh tidak seluruh dunia mengakui akan kepentingan mahasiswa dalam proses pembangunan negara. Mahasiswa sewajarnya menjadi juru cakap rakyat, membantu kerajaan dan pembangkang bagi menyelesaikan isu-isu semasa, menjadi kumpulan pendesak (group pressure) yang berkesan dan sebagainya.
Gagasan yang sebesar ini pastinya memerlukan elemen baru dan segar yang dapat diharap dan diakui keunggulannya dalam membentuk pemikiran baru mahasiswa sekali gus membentuk gerakan mahasiswa yang bukan hanya pandai berdemonstrasi dijalan-jalan tetapi mampu menjadi ahli panel yang duduk sebaris dengan tokoh-tokoh negara yang terkemuka dalam acara-acara yang tinggi nilai intelektual.
Mahasiswa seharusnya mampu melontarkan idea dan buah fikiran yang jelas dan tegas seterusnya mampu di hadam aspirasi mereka untuk disambut dan diperjuangkan oleh seluruh mahasiswa negara. Hal ini kelihatan lebih mudah dilaksanakan justeru faktor umur dan kehendak mahasiswa lebih mudah dibaca dan dianalisis oleh mereka yang berada dalam kelompok masyarakat yang sama.
Sistem pendidikan negara terutamanya harus menyedari hakikat ini dengan memberikan ruang yang seluasnya namun tetap terbatas kepada mahasiswa untuk mencapai bentuk kualiti seperti yang diharapkan.
Liberalisasi pendidikan wajar segera di gagas dan dilaksanakan untuk tujuan ini. Liberalisasi pendidikan ini seharusnya difahami bahawa ia merupakan suatu bentuk agenda baru pendidikan diperingkat mahasiswa di mana pelajar seharusnya bebas untuk keluar masuk dalam mana-mana juga kuliah yang diminati mereka.
Hal ini lebih memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam membentuk corak pemikiran mereka sekali gus menambah bantu mereka dalam mematangkan akal budi mereka. Hal ini memang tidak mudah dilaksanakan namun bukanlah sesuatu yang mustahil.
Benar, ada sukarnya justeru dari sudut pengurusan hal ehwal akademi pelajar namun adakah selama ini sistem yang diguna pakai membantu pelajar membina kredibiliti mereka?
Tanyakan sahaja kepada mahasiswa tentang beberapa isu dan nilai sejauh manakah kemampuan mereka bertindak balas dengan setiap soalan yang dilontarkan.
Adalah sesuatu yang malang andai kecemerlangan mahasiswa itu hanya sekadar diukur dalam dewan peperiksaan yang hanya mengambil masa selama lebih dua jam tiga puluh minit atau kurang atau sekadar melihat kepada kualiti tugasan yang diberikan. Siapa dapat menjamin tidak berlakunya penciplakan dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Sekurang-kurangnya beberapa kawasan dalam kampus untuk tujuan percambahan minda perlu segera diwujudkan. Biarkan sahaja berapa banyak aliran pemikiran pun mahu bertembung di situ.
Hal ini lebih mudah dikenal pasti daripada kita mengharamkan perbincangan-perbincangan yang kononnya dilihat mahu mencabar status quo. Mahasiswa yang memegang teraju kepimpinan Islam seperti Rakan Masjid (RM), PERKIM dan sebagainya harus mampu memberi jawab balas dengan setiap soalan yang dilontarkan.
Berikan kekuatan kepada Islam itu dengan kita menundukkan mereka dengan hujah-hujah kita. Hal ini pasti dapat dicapai hanya setelah golongan ini luas pembacaan dan perbincangannya. Wacana perdebatan Dr Zakir Naik, Ahmad Deedat, tulisan Harun Yahya (Adnan Oktar), Dr Danial Zainal Abidin, Maurice Bucaille harus menjadi santapan minda ahli gerakan dakwah.
Jangan hanya sekadar membaca tulisan-tulisan harakiyyah dan berdebat tentang perkara-perkara furuiyyah (cabang) semata-mata. Berikan Islam itu nilai saing dan sebarkan kekuatan Islam itu berasaskan hujah dan bukan dengan nilai historikal dan cerita-cerita ajaib yang tidak pernah dikenal dalam nas-nas agama.
Mahasiswa sewajarnya menyalurkan semangat muda yang membuak-buak itu ke saluran yang lebih jelas dan ilmiah. Lontarkan nilai intelektual mahasiswa sebanyak-banyaknya dalam diskusi, perdebatan, forum dan sebagainya. Didik diri untuk selalu mencabar hujah-hujah pensyarah malah golongan ustaz sekalipun andai kita tidak meyakini hujah yang diberikan.
Membangunkan negara bererti membangunkan generasi pelapis. Melihat masa depan negara adalah dengan kita melihat bagaimana hala tuju dan kekuatan generasi sekarang.
——————-
*Penulis merupakan EXCO Perhubungan Luar & Pengantarabangsaan Rakan Masjid Universiti Utara Malaysia (UUM)
Sumber: Mahasiswakini
0 comments:
Post a Comment
<