Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Pertandingan Kawad; Selamat Berjaya

Pertandingan Kawad Peringkat Kolej Sri Rajang akan berlangsung pada esok iaitu hari Isnin, 17 Ogos 2009. Syabas saya ucapkan kepada Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) kerana bertungkus lumus memastikan pertandingan tersebut berjalan dengan jayanya walaupun terpaksa mencari penyelesaian dan membuat keputusan terbaik untuk menghadapi beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Ya, tukarkan MASALAH kepada CABARAN. CABARAN itu adalah PELUANG.

Kursus Finishing School buat Diploma Pengurusan dan Perladangan Makanan (DPPM) dan Diploma Perikanan (DPI) pada hujung minggu membuatkan penganjur 'garu kepala' memikirkan tarikh perlaksanaan pertandingan. Pada asalnya, pertandingan tersebut diadakan pada hari Ahad. Namun, kursus tersebut lebih penting dalam menentukan hala tuju mereka yang terlibat dengan Kursus Finishing School lantas terpaksa akur dengan pihak akademik. Pertandingan kawad sekali gus pembukaan bulan kemerdekaan dianjakkan kepad hari seterusnya.

Apa yang menjadi persoalan saya, kursus tersebut tidak dimasukkan ke dalam takwim fakulti, kurang 2 minggu sebelum kursus itu barulah dinaikkan notis untuk mereka yang terlibat. Sedangkan program kemerdekaan yang 'telah' dirancang dan dimasukkan ke dalam takwim diabaikan. Lantas terus berlaku pertembungan masa antara kursus Finishing School untuk mereka yang masih dalam tempoh kurang setahun lagi sebagai mahasiswa dengan masa pertandingan. Ianya buat saya memikirkan yang mana patut didahulukan apabila takwim menjadi rujukan dengan perancangannya dan apakah matlamat kursus tercapai dalam keadaan mahasiswa bergraduasi pertengahan tahun hadapan?

Antara cabaran yang lain ialah penularan demam dalam kalangan mahasiswa semester 1 terutamanya. Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka dinasihatkan untuk diasingkan bilik tidur daripada bilik asal dan kurangkan berhubung dengan mahasiswa lain. Sedia maklum bahawa penularan wabak H1N1 di negara kita semakin serius. Walaupun kes positif H1N1 di Malaysia kurang berbanding negara-negara jiran, tetapi negara kita mengalami kematian yang lebih tinggi akibat H1N1 berbanding negara-negara tersebut. Mahu tidak mahu, semua pihak di 'kampus hijau' ini wajar bertindak untuk mencegah penularan wabak ujian atau bala dari Tuhan ini dengan iltizam dan sabar. Jaga kebersihan, beradab apabila bersin dan batuk dan pakai penutup mulut dan hidung merupakan antara langkah pengawalan di samping doa dan tawakal kepadaNya.

Justeru, mereka yang demam terpaksa memilih 'kos melepas' untuk tidak menyertai pertandingan kawad yang diadakan setiap dua tahun sekali ini. Natijahnya, beberapa blok terpaksa menghadapi kekurangan peserta kawad yang mengakibatkan sedikit perubahan format pertandingan berlaku. Biarlah saat berharga ini dilepaskan tetapi kesihatan anda terjaga; menunaikan hasrat ibu bapa yang sentiasa harapkan anda sentiasa sihat sejahtera, maka doalah juga kesejahteraan buat mereka.

Pasti cabaran-cabaran yang menduga ini dibayar dengan pengalaman mengatur program, kemahiran menyelesaikan masalah, membuat keputusan serta menajamkan lagi kreativiti untuk mencari alternatif kepada sesuatu masalah. Itulah sebabnya berorganisasi mampu meningkatkan lagi kemahiran insaniah (softskill) apabila kita menghadapi saat begini terutamanya.

Akhir kata, syabas sekali lagi kepada MTM Kolej Sri Rajang atas penganjuran Program Fiesta Putra Merdeka 2009 di bawah kepimpinan saudara Hisyam Izairie pada tahun ini. Aturkanlah program mengikut landasan yang bermoral serta menjaga tatasusila diri agar tidak jauh dari tuntutan syariat dan memastikan aktiviti tersebut benar-benar bermanfaat buat semua. Selamat berjaya juga kepada semua peserta pertandingan kawad bagi setiap blok dan acara lain.

Hafizul Hazman bin Ngaa
Pengerusi
Biro Pembangunan Insan (Siswa)
MTM Kolej Sri Rajang

1 Comentário:

hisyam izairie - Director FPM09 said...

terima kasih di atas segala komitmen yang diberikan daripada pihak biro ini..

Post a Comment

<