Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Menggemparkan! Survey Ketidakhadiran ke Solat Jumaat

Pada Jumaat baru-baru ini, 14 Ogos 2009 Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam (JPPI) bersama beberapa wakil mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa jurusan Bacelor Sains Bioindustri (BSBI) telah menjalankan satu gerak gempur ke blok-blok siswa untuk pemantauan dan pemeriksaan pelajar lelaki muslim yang tidak menunaikan solat Jumaat.

MENGGEMPARKAN! Hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan tersebut, sebanyak 15 individu yang dikenalpasti nama dan butir-butir diri mereka telah dicatatkan. Memandangkan masa pemeriksaan yang agak terhad, petugas-petugas yang memeriksa bilik hanya mencatatkan nombor bilik yang mempunyai penghuni di dalamnya. Sebanyak 20 buah bilik berpenghuni sewaktu muslimin lain solat fardhu Jumaat dicatatkan. Andaikan setiap bilik tersebut diduduki seorang, maka jumlah keseluruhan yang tidak ke Pusat Islam untuk menunaikan solat fardhu Jumaat sebanyak 35 orang! Ya, 35 orang yang berada di bilik.



Berdasarkan kiraan tersebut, kami cuba membuat analisa sebaik-baiknya. Petugas-petugas tidak sempat berjumpa sendiri dengan individu-individu yang terlibat kecuali mereka yang telah disoal mengenai 'keuzuran' mereka. Oleh sebab itu, memandangkan pada hari tersebut telah bermulanya musim demam, kami bersangka baik dalam kalangan mereka ada yang mengalami demam dan menjadi tahanan kuarantin untuk mencegah wabak H1N1 (ketika itu).

Persoalannya, adakah mereka semua yang berada di bilik ketika itu benar-benar dalam keuzuran syari'e; demam, cedera parah, H1N1, pitam, tenat, 'period' dan sebagainya? Hampir semua yang ditemui berada di atas katil sambil tidur dengan nyenyak dan mungkin ada rasa bersalah di dalam lubuk hati. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa ramai juga antara mereka terdiri daripada semester 1. Dengan erti kata lain, bilangan mengikut semester hampir seimbang seolah-olah mempunyai wakilnya tersendiri.

Solat fardhu Jumaat merupakan tuntutan kewajipan buat lelaki yang beragama Islam serta beriman kepada Allah. Andai ditinggalkan tanpa keuzuran syari'e yang dibenarkan, maka berdosa besar hukumnya. Rasulullah juga pernah mengingatkan bahawa apabila 3 kali berturut-turut mereka yang dituntut menunaikan solat Jumaat (lelaki muslim) meninggalkannya dengan sengaja, Allah S.W.T akan tutup pintu hatinya. Maka berbagai-bagai perkara kelalaian lagi yang akan dilakukan.

"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang-orang yang lalai?" (muslim)

Justeru, inilah antara sebabnya operasi seperti ini dijalankan bagi menjaga kehormatan waktu solat Jumaat dan menunaikan tuntutan fardhu kifayah itu sendiri. Paling penting adalah menjadikan kita lebih sensitif dengan isu masyarakat kini yang semakin tidak sensitif dengan tuntutan agama. Mereka yang terlibat diharapkan mempunyai kesedaran serta keinsafan dalam hati serta iltizam perubahan diri agar menjadi insan yang bertaqwa. Andai di dunia berbagai-bagai alasan kita boleh beri untuk tidak menunaikan solat Jumaat secara sengaja, namun akhirat yang menanti anggota kita yang akan menjawabnya. Peringatan buat semua termasuk penulis.

Terima kasih kepada mereka yang menjalankan usaha nahi mungkar ini. InsyaAllah pada masa akan datang dialu-alukan dijalankan bila-bila masa. Cemerlang Beragama, Cemerlang Akademik.

Oleh : Biro Pembangunan Insan MTM Kolej Sri Rajang

0 comments:

Post a Comment

<