Kolej Sri Rajang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak

Kesibukan Menginsafkan

Program Buku Hijau yang telah diperkenalkan oleh Yang Berbahagia Dekan, Dr. Japar Sidik Bujang pada tahun lepas tidak dinafikan memberi impak positif kepada mahasiswa yang baru menempuh alam pertanian. Pada tahun ini, program tersebut telah berlangsung untuk siri yang ke-2. Seusai menyemai, bercucuk tanam, menyiram, membaja dan sebagainya, telah tiba waktu menuai hasil. Sawi, kailan, kacang bendi, dan jagung merupakan antara tanaman terpilih yang sudah mula dituai.

Marilah sama-sama renungkan usaha anda yang terlibat untuk membesarkan tanaman itu sehingga subur menghijau, adakah berbaloi dengan perubahan yang berlaku dalam diri anda? Pada asalnya tidak tahu menahu selok belok menjaga tanaman, cara memegang cangkul bahkan menyiram sekali pun. Kini semua itu boleh diungkapkan sebagai 'alah bisa tegal biasa'. Anda telah menjadi mahasiswa yang berpengalaman memegang cangkul, menyiram, membaja, merumput dan menuai!

Justeru, nilailah juga keadaan ruhaniah anda sekarang, makin suburkah atau makin layu? Kesibukan urusan harian mampu melencongkan prinsip diri seseorang sama ada ke arah lebih baik atau pun lebih buruk kerana kesibukan itu adalah ujian dan cabaran untuk kita apabila bergelar mahasiswa.

Andai dahulunya kaki kita ringan melangkah ke Pusat Islam, kini mungkin terasa berat. Andai dahulunya kita segan dan malu bercampur gaul dengan kawan-kawan, kesibukan juga meleburkan rasa segan dan malu itu hingga meruntuhkan akhlak diri. Andai dahulunya lidah terkaku tetapi hati mahu, kini mungkin juga hati mahu, lidah pun sudah lembut meluahkan kata-kata.

Ya, kesibukan mampu mengubah diri seseorang.

Justeru, ayuh kita janakan kesibukan itu ke arah yang menginsafkan diri dengan menganggap kesibukan itu adalah ujian untuk diri kita yang akan dibayar dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka. Apabila kita menilai sendiri kesibukan yang melanda, tanyalah diri adakah kita merasa manis dengan kesibukan itu atau pun sebaliknya. Manisnya kesibukan dapat dirasakan apabila usaha itu membuahkan hasil lalu menginsafkan diri untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

Dalam kesibukan yang melanda, kunjungilah Pusat Islam yang kian sunyi dek kerana tetamunya yang berkurangan. Di sanalah sumber ilmu, sumber kekuatan ruhaniah, sumber hidayah dan sumber ilham buat sang pemuhasabah
. Salam sukses dan salam renungan.

Hafizul Hazman bin Ngaa
Pengerusi
Biro Pembangunan Insan
Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Sri Rajang

0 comments:

Post a Comment

<